JENAYAH & MAHKAMAH

Asnida mengaku tidak bersalah, dua anak lelaki Daim dikenakan waran tangkap

KUALA LUMPUR – Anak sulung bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta, manakala dua adik lelakinya dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Majistret kerana tidak mematuhi notis hadir ke mahkamah.

Asnida, 65, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rosli Ahmad selepas pertuduhan dibacakan melibatkan kegagalan mengisytiharkan harta berupa pegangan saham dalam lima buah syarikat.

Dalam prosiding berasingan, dua anak lelaki Daim iaitu Muhammed Amir Zainuddin Daim, 31, dan Muhammed Amin Zainuddin Daim, 28, pula dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Majistret, di sini kerana gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk berdepan pertuduhan.

waran
Muhammed Amir (kiri) dan Muhammed Amin (kanan).

Turut dikenakan waran tangkap ialah seorang individu dikenali sebagai Josephine Premla.

Majistret Illi Marisqa Khalizan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang disifatkan mempunyai merit.

“Saya percaya penama-penama mempunyai pengetahuan mengenai notis yang dikeluarkan SPRM tetapi masih gagal hadir. Permohonan pendakwaan mempunyai merit, justeru waran tangkap dikeluarkan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan waran tangkap sehingga rayuan difailkan.

Terdahulu, peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili dua beradik itu membantah permohonan waran tangkap dengan alasan tiada notis pertuduhan dikemukakan sebelum permohonan dibuat di mahkamah.

“Sebelum waran tangkap dimohon, perlu ada notis kehadiran ke mahkamah. Namun, hanya notis di bawah Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009 dikeluarkan untuk hadir memberi keterangan sebagai saksi dalam kes Allahyarham Tun Daim,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat berkata, permohonan waran tangkap dibuat mengikut Seksyen 47 dan Seksyen 48(1) Kanun Prosedur Jenayah.

Menurutnya, kedua-dua beradik itu gagal hadir sebanyak tiga kali sejak diarahkan oleh SPRM pada 14 Februari lalu, manakala Josephine gagal hadir dua kali.

Beliau berkata, pelbagai alasan dikemukakan termasuk berada di luar negara, urusan rawatan ibu serta sambutan hari raya, sebelum SPRM menetapkan 6 April sebagai tarikh akhir kehadiran bagi serahan notis pertuduhan.

“Dua hari sebelum tarikh itu, Muhammed Amir memaklumkan baru mendaftar peperiksaan di London, manakala Muhammed Amin menyatakan masih belum tamat pengajian di luar negara, sementara Josephine hanya memaklumkan ketidakhadirannya kelmarin,” katanya.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan sedang mengesan empat anak Daim bagi membantu siasatan, termasuk Asnida, Md Wira Dani, Muhammed Amir dan Muhammed Amin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button