BERITA SEMASASUKAN

Bola sepak Itali dilanda krisis baharu

Maldini, Leonardo letak jawatan

LONDON – Legenda bola sepak Itali, Paolo Maldini dan bekas pemain antarabangsa Brazil, Leonardo, meletakkan jawatan daripada peranan masing-masing dalam Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC).

Reuters yang memetik laporan Sky Sport Italia berkata, keputusan itu dibuat hanya beberapa hari selepas kedua-duanya bersetuju menyertai rombakan besar pengurusan skuad kebangsaan Itali.

Maldini dilantik sebagai Pengarah Teknikal FIGC pada 11 Julai lalu bagi membantu membina semula pasukan kebangsaan selepas Itali gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.

Antara tugas pertamanya ialah membantu mencari pengganti kepada Gennaro Gattuso yang meninggalkan jawatan ketua jurulatih.

Bagaimanapun, Maldini mengambil keputusan melepaskan jawatan itu hanya 16 hari selepas pelantikannya diikuti Leonardo, yang dibawa masuk sebagai penasihatnya.

Difahamkan, keputusan mereka dibuat tidak lama selepas bekas pemain tengah Itali, Andrea Pirlo, mengumumkan beliau bukan lagi calon untuk mengendalikan skuad kebangsaan.

Hasrat Pirlo untuk mengisi jawatan itu menerima tentangan hebat susulan hubungan komersialnya dengan sebuah syarikat pertaruhan berpangkalan di Rusia.

Pirlo sebelum ini merupakan calon pilihan utama Maldini selepas pengendali Manchester City, Pep Guardiola, menolak tawaran FIGC.

Beberapa nama besar kini dikaitkan dengan jawatan berkenaan, termasuk Roberto Mancini, Thiago Motta dan Antonio Conte.

Peletakan jawatan serentak Maldini dan Leonardo mencetuskan krisis kepada presiden baharu FIGC, Giovanni Malago.

Situasi itu menyebabkan badan induk bola sepak Itali berdepan kekosongan hala tuju yang jelas bagi pasukan kebangsaan ketika prestasi bola sepak negara itu berada pada tahap paling membimbangkan dalam tempoh hampir 40 tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button