RM18 juta diperuntuk untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) tahun ini
KUALA LUMPUR – Kerajaan terus komited memperkukuh pembangunan bola sepak negara apabila memperuntukkan sebanyak RM18 juta bagi pelaksanaan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) pada tahun ini.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu merangkumi pengurusan atlet dan jurulatih, pengendalian pusat latihan, pendedahan latihan serta kejohanan, selain sokongan sains dan perubatan sukan.
Menurut beliau, peruntukan berkenaan turut melibatkan pelaksanaan program kepada seramai 16,221 pelatih dan 792 jurulatih melalui rangkaian 79 Akademi Tunas, 63 Pusat Latihan Daerah, 14 Sekolah Sukan Negeri, sebuah Akademi Zon serta Akademi Mokhtar Dahari.
“KBS sedang cuba memperkasakan sukan bola sepak ini sebaik mungkin supaya kita dapat melahirkan lebih ramai lagi pemain tempatan yang hebat dan boleh mewakili negara.
“Yang penting kita jangan luntur semangat untuk memperkasa dan memperkukuh segala program yang ada,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai pengurusan NFDP, Mohammed Taufiq berkata, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih bertanggungjawab terhadap aspek teknikal, kejurulatihan dan prestasi.
Bagi Majlis Sukan Negara (MSN) pula, badan itu akan menyelia aspek pengurusan merangkumi kewangan, pendidikan, kebajikan pelatih, pengurusan asrama, penyediaan sajian, kemudahan fasiliti serta kerja-kerja penyelenggaraan.
Sementara itu, menyentuh soal perkembangan sosioekonomi generasi muda, beliau berkata KBS akan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran keusahawanan dalam kalangan belia luar bandar pada tahun ini.
Katanya, pendekatan berkenaan dilihat mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan setempat sekali gus mengurangkan kebergantungan belia kepada peluang pekerjaan di kawasan bandar.
“Ini kerana sebelum ini, dengan pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang sistematik, kita melihat ia mendorong penghijrahan golongan belia ke bandar kerana terdapat peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















