SUKAN

SUKMA Selangor diteruskan, kos diperkemas tanpa jejas kualiti – Taufiq

PUTRAJAYA – Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor akan diteruskan seperti dirancang meskipun negara berdepan cabaran krisis tenaga global ketika ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohd Taufiq Johari berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi ekonomi semasa serta pandangan semua wakil negeri dalam mesyuarat yang diadakan.

Menurutnya, krisis yang berlaku bukan hanya melibatkan Malaysia, sebaliknya memberi kesan kepada seluruh dunia, sekali gus memerlukan pendekatan lebih berhati-hati dalam penganjuran temasya sukan tersebut.

“Jawatankuasa tertinggi SUKMA mengambil maklum bahawa krisis tenaga global memberi kesan kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia.

“Namun, kita telah menerima komitmen daripada tuan rumah iaitu Selangor bahawa SUKMA akan tetap diteruskan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Exco serta wakil-wakil negeri hari ini.

Dr Taufiq berkata, penangguhan penganjuran SUKMA berpotensi menyebabkan implikasi kewangan lebih besar berbanding kos penganjuran yang dirancang ketika ini.

“Pendekatan terbaik adalah meneruskan temasya berkenaan dengan pelarasan tertentu bagi mengurangkan perbelanjaan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, pihak penganjur akan melaksanakan langkah penjimatan kos termasuk mengurangkan skala beberapa aspek penganjuran.

“Langkah tersebut tidak akan menjejaskan kualiti pertandingan, kebajikan atlet mahupun aspek teknikal sukan.

“Penjimatan kos hanya melibatkan acara sampingan dan elemen yang tidak bersifat keperluan utama atau bermewah-mewah,” katanya lagi.

Tambah beliau, keputusan untuk meneruskan SUKMA Selangor itu turut mendapat sokongan serta persetujuan daripada semua wakil negeri.

“Komitmen yang diberikan oleh tuan rumah serta kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan temasya sukan terbesar negara itu berjalan lancar.

“Kerajaan optimis penganjuran SUKMA Selangor dapat dilaksanakan dengan baik meskipun dalam suasana mencabar, sekali gus memastikan pembangunan sukan negara terus diperkasa,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button