Pengasas eHATI nafi program mengandungi unsur sesat, bertentangan ajaran Islam
KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri yang juga pengasas program motivasi rumah tangga eHATI, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan program anjuran mereka mengandungi unsur menyeleweng akidah atau bertentangan dengan prinsip maqasid syariah dan akhlak Islam.
Diyana Tahir dan Rahim Shukor yang mewakili eHati International Sdn. Bhd. berkata, setiap modul dan aktiviti yang dilaksanakan di bawah program tersebut tidak sekali-kali mengabaikan nilai-nilai agama Islam, institusi kekeluargaan mahupun peranan suami isteri dalam rumah tangga.
Menurut mereka, kenyataan yang dimuat naik oleh seorang individu di media sosial dikenali sebagai Masyitah Ashari mengandungi dakwaan tidak tepat dan berpotensi menimbulkan fitnah terhadap program berkenaan.
“Program eHATI bertujuan membantu wanita menghadapi cabaran emosi dan psikologi dengan pendekatan yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam serta mematuhi tanggungjawab sosial.
“Pendekatan kami termasuk penggunaan ‘Neuro-Linguistic Programming’ (NLP), hipnoterapi, dan teknik pemulihan trauma yang dirangka khusus untuk membantu peserta mencapai ketenangan dalaman dan kesejahteraan mental,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasangan itu menjelaskan, modul yang digunakan dalam program mereka merangkumi kaedah pengurusan emosi seperti breathwork, Trauma Release Exercise dan terapi minda yang berupaya mendorong perubahan positif dalam diri peserta.
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan bahawa program dikendalikan pasangan terbabit menyebarkan ajaran sesat dan menyasarkan wanita berkerjaya yang berdepan masalah rumah tangga.
Seorang bekas peserta mendakwa program berkenaan berselindung di sebalik nama motivasi rumah tangga dan menggunakan rujukan daripada ajaran agama lain.
Malah, dakwaan turut menyebut pasangan itu menggunakan buku Hindu sebagai panduan dan melaksanakan aktiviti menerusi aplikasi Telegram serta membawa peserta ke luar negara untuk menjalani latihan tertentu.
Susulan dakwaan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memulakan siasatan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan dua saksi akan dipanggil bagi membantu siasatan.
Baca juga : Program eHati: Dua saksi baharu dipanggil JAIS esok
Menjawab isu tersebut, Diyana dan Rahim menegaskan mereka merupakan pengamal bertauliah dalam bidang hipnoterapi dan menolak tuduhan bahawa eHATI mengajar urutan berunsur falsafah ajaran sesat.
Menurut mereka, kaedah urutan yang digunakan adalah gabungan teknik pelvic floor massage dan Thai massage yang disesuaikan mengikut nilai tempatan dan tidak mengandungi sebarang unsur keagamaan luar.
Berhubung minuman dikenali sebagai Piya yang turut dikaitkan dalam dakwaan tersebut, mereka menjelaskan bahawa ia hanya campuran koko asli, madu dan rempah semula jadi untuk membantu ketenangan tubuh serta fikiran.
“Minuman ini tidak mengandungi sebarang bahan terlarang atau ‘cendawan ajaib’ seperti yang dituduh,” katanya.
Mengenai gambar yang tular dikatakan diambil di Bali, Indonesia, pasangan itu menjelaskan ia merupakan sebahagian daripada program ‘retreat’ dan semua perhiasan bunga disediakan pihak hotel, bukan ritual seperti yang dituduh.
Tambah mereka, pada November 2022, mereka pernah dipanggil JAIS bagi memberi penjelasan mengenai program yang dianjurkan. Hasil pertemuan itu, JAIS dilaporkan memahami serta menerima penjelasan yang diberi, dan hanya menasihati agar penafian bertulis (disclaimer) dimasukkan dalam program berkenaan.
Pasangan itu juga mendakwa, sehingga kini tiada siasatan rasmi dijalankan terhadap mereka, dan segala tuduhan hanya berpandukan muat naik yang tidak dapat dikenal pasti pemilik akaunnya.
Menurut mereka, eHATI kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan tuduhan tidak berasas dan berunsur fitnah yang telah mencemarkan nama baik serta menjejaskan operasi program.
Lebih mendukacitakan, mereka mendakwa penyebaran maklumat tidak sahih itu turut memberi kesan mendalam kepada ahli keluarga, termasuk ibu Diyana yang mengalami tekanan emosi serius dan meninggal dunia semalam.
“Kami terkesan secara emosi dan mental akibat penyebaran fitnah ini. Ia memberi impak besar kepada kehidupan dan kesejahteraan keluarga kami secara keseluruhan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







