Polis Selangor buka kertas inkuiri program eHATI
SHAH ALAM – Polis Selangor membuka satu kertas inkuiri bagi mengenal pasti kesalahan jenayah berkaitan penganjuran program motivasi rumah tangga eHATI yang dikaitkan dengan perbuatan mencolok mata dan terpesong.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pihaknya akan memanggil beberapa saksi bagi mendapatkan pengesahan termasuk melibatkan penggunaan air yang didakwa boleh mengkhayalkan.
“Setakat ini, maklumat yang diperoleh adalah daripada pihak ketiga dan kita akan memanggil individu terlibat bagi membuktikan sama ada wujud kesalahan jenayah.
“Kita buka kertas siasatan bagi mendapatkan keterangan terus dan mengesahkan sama ada benar wujud penggunaan air tertentu atau kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan,” katanya, hari ini.
Tambah beliau, kenyataan saksi diperlukan bagi membantu siasatan lanjut termasuk dakwaan mengenai air tersebut.
“Kerjasama antara polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) juga berjalan lancar mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya lagi.
Laporan media sejak kelmarin menyebut mengenai penganjuran satu program motivasi dan bimbingan yang didakwa menyebarkan ajaran sesat dan menyasarkan golongan wanita bekerja serta berdepan krisis rumah tangga.
Bekas ahli program tersebut mendakwa, pasangan terbabit mengamalkan ajaran batin yang menyesatkan dan turut menjadikan buku agama hindu sebagai rujukan kepada peserta program.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






