Dakwaan puluhan banduan dipukul di Penjara Taiping dalam siasatan
TAIPING – Polis sedang menyiasat dakwaan kes puluhan banduan di Penjara Taiping, di sini dipukul dan dibelasah hingga menyebabkan seorang banduan mati.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, pihaknya sudah merekodkan keterangan 82 individu termasuk dua pegawai penjara, berkenaan dakwaan itu.
Beliau turut mengesahkan, pihaknya sudah menerima beberapa laporan mengenai kejadian termasuk laporan polis pada 17 Januari lalu.
Ketika menjelaskan mengenai insiden berkenaan, Zulkafli berkata, kes itu pada mulanya disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dan sudah dibawa ke pengetahuan Ketua Polis Negara dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, untuk siasatan lanjut.
“Yang lain-lain itu masih dalam siasatan. Banyak laporan juga yang sudah dibuat, tetapi kita akan angkat ke peringkat Bukit Aman dan siasatan telus akan terus dijalankan.
“Insya-Allah bila sudah lengkap dan gambaran situasi sebenar diperoleh, kita akan cuba keluarkan kenyataan media.
“Buat masa sekarang siasatan dijalankan daripada laporan yang mula diterima pada 17 Januari lalu dan kalau ikut kategori siasatan ia mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas menghadiri Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 di Plaza Tol Taiping Selatan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), di sini hari ini.
Terdahulu, sebuah pertubuhan politik dilaporkan mengadakan perhimpunan di perkarangan Penjara Taiping, atas isu penderaan dan mencederakan banduan yang turut disertai ahli keluarga banduan terbabit.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






