JENAYAH & MAHKAMAH

Insiden pelajar Tingkatan Satu jatuh dari bangunan sekolah tiada unsur jenayah

IPOH – Polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah dalam kejadian seorang pelajar lelaki dipercayai terjatuh dari bangunan sekolah di Taman Rapat Setia Baru, di sini minggu lalu.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai naik seorang diri ke bahagian atas tangki air sebelum terjatuh ke tingkat tiga di tepi tangga aras yang sama.

“Setakat hari ini, keterangan daripada rakan mangsa menyatakan, mangsa naik ke bahagian atas (tangki air) berseorangan dan dengan cuai telah terjatuh ke bawah tingkat tiga (aras yang sama) di bahagian tepi tangga.

“Tiada unsur-unsur jenayah dikesan dalam kejadian ini,” katanya, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya telah merakam keterangan lima saksi membabitkan rakan mangsa dan guru di sekolah berkenaan untuk membantu siasatan.

Katanya, setakat ini, kes diklasifikasi sebagai Rujuk Kepada Agensi Lain (ROA) untuk tindakan lanjut pihak sekolah.

“Mengenai keadaan mangsa, pelajar itu telah sedarkan diri dan dipindahkan oleh keluarganya ke sebuah hospital swasta bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Pada 22 Jun lalu, seorang pelajar lelaki tingkatan satu dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akibat kecederaan parah selepas terjatuh dari bangunan dalam kawasan sebuah sekolah di sini.

Maklumat kejadian itu diterima pada pukul 2.49 petang sebelum sepasukan anggota polis dan petugas perubatan digerakkan ke lokasi bagi memberikan bantuan dan menjalankan siasatan awal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button