AGAMABERITA SEMASA

Program eHati: Dua saksi baharu dipanggil JAIS esok

KUALA LUMPUR – Dua saksi baharu dijangka memberi keterangan esok di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung siasatan terhadap program motivasi rumah tangga eHATI yang dikaitkan dengan unsur mencolok mata dan amalan berunsur syirik.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, keterangan saksi berkenaan akan diambil oleh Bahagian Penguatkuasaan JAIS susulan aduan yang diterima.

“Siasatan telah pun dimulakan oleh pihak JAIS dan mengharapkan kedua-dua saksi dapat hadir esok bagi membantu siasatan.

“Ini penting agar tiada pihak yang teraniaya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran Program Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Baca juga : Isu eHATI: JAIS sudah mulakan siasatan

Kes disiasat di bawah Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berhubung ajaran atau fahaman yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Media sebelum ini melaporkan program motivasi dan bimbingan, dikatakan dikendalikan pasangan suami isteri, didakwa menyebarkan ajaran sesat dan menyasarkan golongan wanita bekerja serta berdepan krisis rumah tangga.

Bekas ahli program itu menerusi Facebook mendedahkan ajaran terbabit dikatakan berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi kepada wanita.

Dia mendakwa, pasangan terbabit mengamalkan ajaran batin yang menyesatkan dan turut menjadikan buku hindu sebagai rujukan kepada peserta program menerusi platform Telegram.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button