BERITA SEMASA

Isu eHATI: JAIS sudah mulakan siasatan

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah memulakan siasatan terhadap pasangan disyaki terlibat dalam penganjuran program motivasi rumah tangga (eHATI) yang dikaitkan dengan perbuatan mencolok mata dan syirik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, JAIS juga akan memanggil mereka berdua dalam masa terdekat, lapor BH Online.

“Saya maklum mengenai kebimbangan masyarakat berhubung pendekatan digunakan (eHATI) yang menggusarkan.

“Justeru, saya minta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee mengeluarkan kenyataan memulakan kerjasama dengan JAIS (bagi menangani isu terbabit).

“Saya juga dimaklumkan JAIS sudah menerima aduan rasmi dan siasatan sudah dimulakan, selain pasangan terbabit akan dipanggil memberi keterangan kepada Bahagian Penguatkuasaan JAIS,” katanya dalam laporan tersebut.

Tambah beliau, tindakan lanjut berhubung program terbabit akan dimuktamadkan selepas siasatan diselesaikan JAIS.

Mengenai dakwaan laporan berhubung penganjuran program itu sudah dikemukakan sejak tahun lalu, Mohd Na’im bagaimanapun mengakui perkara itu belum boleh disahkan ketika ini.

“Saya dimaklumkan ada aduan diterima sejak tahun lalu, tetapi perkara itu saya tak boleh ‘verify’ (sahkan) dan akan tunggu Sirajuddin (memberikan pengesahan mengenainya).

“Saya secara peribadi ada terima laporan mengenai kumpulan eHATI kelmarin, dan tidak tahu mengenai kewujudan mereka sebelum ini.

“Justeru, orang ramai diminta memberi kerjasama untuk segera melaporkan penganjuran apa-apa aktiviti yang mengandungi unsur menyeleweng dan meragukan kepada pihak berkuasa agama negeri supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Laporan media sejak kelmarin menyebut mengenai penganjuran satu program motivasi dan bimbingan yang didakwa menyebarkan ajaran sesat dan menyasarkan golongan wanita bekerja serta berdepan krisis rumah tangga.

Bekas ahli program tersebut mendakwa, pasangan terbabit mengamalkan ajaran batin yang menyesatkan dan turut menjadikan buku agama hindu sebagai rujukan kepada peserta program.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button