Kerajaan dalam peringkat akhir tubuhkan Jabatan Pendakwaan Syariah
KUALA LUMPUR – Kerajaan kini dalam peringkat akhir bagi menubuhkan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia (JPSM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, gerak kerja penubuhan jabatan itu kini berada di peringkat akhir persediaan untuk pembentangan Memorandum Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan dasar.
“Selepas kelulusan dasar diperoleh, cadangan penubuhan JPSM akan dibawa ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum diangkat ke Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau kemudiannya menambah, satu mesyuarat juga akan diadakan dalam masa terdekat melibatkan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri bagi membincangkan secara terperinci aspek teknikal cadangan penubuhan JPSM.
“Secara umumnya, matlamat utama penubuhan JPSM adalah untuk mengaplikasikan prinsip pengasingan kuasa yang diamalkan di Malaysia, selain menyelaras dan menyeragamkan fungsi pendakwaan syariah dari sudut jenayah syariah, pentadbiran, latihan, kompetensi serta profesionalisme,” jelasnya.
Zulkifli berkata demikian bagi menjawab soalan Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berhubung status Pelan Kecekapan Pendakwaan Syariah Nasional (PKPSN) sebagai dasar rasmi negara serta tahap kesediaan kerajaan mewujudkan Akta Jabatan Pendakwaan Syariah Persekutuan bagi memperkukuh kedudukan fungsi pendakwaan Islam setara dengan Jabatan Peguam Negara.
Apabila diwujudkan kelak, JPSM akan memastikan pelaksanaan pendakwaan syariah di seluruh negara dapat diselaraskan secara menyeluruh, sekali gus mengelakkan sebarang negeri ketinggalan daripada perkembangan undang-undang serta fungsi pentadbiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








