BERITA SEMASA

Dua lelaki dicekup JAINJ dalam kereta ‘bergoyang’

MERSING – Dua lelaki masing-masing warga tempatan dan warga asing ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas dipercayai berdua-duaan serta melakukan perbuatan tidak bermoral di dalam sebuah kereta yang dilihat bergoyang, kira-kira pukul 6 petang kelmarin.

JAINJ dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua individu tersebut ditahan oleh penguat kuasa jabatan berkenaan ketika menjalankan rondaan serta pemeriksaan terhadap kenderaan yang disyaki ‘rosak’ di sekitar daerah ini.

Menurut kenyataan itu, penguat kuasa yang menaiki sebuah van telah menghampiri sebuah kereta dari arah belakang yang didapati dalam keadaan mencurigakan apabila kenderaan tersebut dilihat bergoyang dengan enjin serta pendingin hawa masih hidup.

“Penguat kuasa kemudian turun dari van dan menghampiri tingkap kenderaan berkenaan. Cermin tingkap belakang kiri dan kanan tidak terlalu gelap, membolehkan penguat kuasa melihat kejadian di dalam kereta tersebut.

“Mereka mendapati terdapat dua lelaki sedang melakukan sesuatu sebelum bertindak mengetuk pintu sambil menunjukkan kad kuasa,” menurut kenyataan itu.

Tambahnya, pintu kenderaan berkenaan dibuka kira-kira seminit kemudian oleh salah seorang lelaki terbabit.

Penguat kuasa seterusnya mengarahkan kedua-dua lelaki itu keluar dari kenderaan, namun mereka mengambil masa kerana tidak memakai seluar dan hanya berbaju T.

Menurut JAINJ, lelaki pertama berusia lingkungan 30-an merupakan warga tempatan, masih bujang, berasal dari negeri lain dan bekerja di daerah ini.

“Lelaki kedua pula berusia lingkungan 20-an, seorang warga Pakistan beragama Islam, mempunyai pasport, masih bujang serta mengaku tidak bekerja,” jelas kenyataan tersebut.

Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mereka berkenalan melalui sebuah aplikasi internet, dengan lelaki tempatan itu menawarkan ‘servis’ kepada lelaki.

“Dia tidak menyamar sebagai wanita, sebaliknya berterus terang sebagai lelaki yang mencari layanan daripada lelaki lain.

“Mereka kemudian mengatur pertemuan di dalam kereta bagi menjimatkan kos sewaan bilik. Perkenalan mereka baru seminggu dan ini merupakan pertemuan pertama,” katanya.

Menurut JAINJ, kedua-duanya mengaku melakukan perbuatan tersebut atas dasar suka sama suka tanpa sebarang bayaran.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 56 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button