AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Muncul tapi belum rasmi dilancar: Apa sebenarnya Perodua eMO?

PAMERAN Automotif Malaysia 2025 kembali lagi dengan pelbagai pameran kenderaan canggih, dan seperti dijangka, pengunjung berpusu-pusu melihat teknologi automotif terkini termasuk kereta elektrik (EV).

Walau bagaimanapun, di sebalik kemegahan jenama antarabangsa yang mempamerkan model EV mereka, satu persoalan besar mula berlegar-legar di fikiran ramai iaitu di manakah kereta elektrik Perodua?

Soalan itu terjawab apabila Perodua akhirnya mempamerkan prototaip hampir siap bagi model elektrik pertamanya yang diberi nama “eMO”.

Perodua eMO
Reka bentuk dalaman dan struktur eMO yang dipamerkan memberi gambaran awal tentang pendekatan kejuruteraan Perodua terhadap EV masa depan. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Model yang dipamerkan bukan EV produksi penuh, tetapi sebaliknya sebuah versi “half-cut” yang menonjolkan reka bentuk struktur dalaman dan luaran.

Pengunjung juga berpeluang merasai simulasi pemanduan maya bagi membolehkan orang ramai merasai pengalaman memandu EV itu.

Dari segi spesifikasi, eMO menampilkan reka bentuk fastback yang moden dan sporty, dengan prestasi yang dikatakan mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa kurang 7 saat.

Dilengkapi bateri CATL berkapasiti sekitar 50 kWh, ia mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 400 km – satu angka yang kompetitif untuk segmen B-SUV.

Pandangan belakang Perodua eMO. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Yang lebih menarik dan menimbulkan persoalan ialah pendekatan Perodua dalam model perniagaan, iaitu penyewaan bateri.

Dengan kaedah ini, harga jualan asas kereta boleh dikurangkan kepada bawah RM80,000, sementara pengguna membayar sewaan bulanan bateri sekitar RM200.

Ia satu pendekatan yang berani dan inovatif, tetapi adakah pengguna bersedia menerima konsep menyewa ‘jantung’ kepada kereta mereka?

Perodua menjanjikan perlindungan penuh terhadap bateri yang disewa selama lapan tahun, termasuk penggantian jika berlaku masalah.

Namun, dalam pasaran Malaysia yang masih terbiasa dengan pemilikan mutlak, konsep ini mungkin mengambil masa untuk diterima.

Pengunjung berpeluang merasai pengalaman pemanduan maya eMO di Pameran Automotif Malaysia 2025 di MAEPS Serdang. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Lebih menarik lagi, tiada nama rasmi diumumkan untuk model ini selain “eMO” sebagai identiti prototaip.

Pelan pengeluaran pula dijangka bermula pada suku keempat 2025, dengan pengeluaran awal 500 unit sebulan dan meningkat kepada 2,000 unit dalam masa terdekat.

Perodua, sebagai jenama kepercayaan ramai, memikul harapan besar untuk membawa EV mampu milik kepada rakyat, namun harapan ini datang bersama tekanan untuk tidak hanya hadir, tetapi benar-benar memenuhi keperluan rakyat Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button