AGAMABERITA SEMASA

‘Jalan Pulang’ siri kedua kupas ilmu, fitnah akhir zaman

80 peratus tanda kecil kiamat sudah berlaku – Dr Ashraff

KUALA LUMPUR – Program ‘Jalan Pulang: Tenang & Menang di Akhir Zaman’ yang bakal berlangsung di ibu negara dijangka mengupas pelbagai elemen penting berkaitan realiti kehidupan umat Islam pada era fitnah akhir zaman.

Menurut penulis buku Timeline Akhir Zaman, Ustaz Dr Ashraff Amirul, antara fokus utama dalam siri kedua program itu adalah untuk memahami susur galur peristiwa akhir zaman yang sedang berlaku dan bakal berlaku.

“Imu akhir zaman adalah antara pengisian program tersebut. Pada tahun 2015, saya mendapati tanda-tanda kecil kiamat kecil telah berlaku sebanyak 80 peratus.

“Justeru, hanya mereka yang kembali kepada Allah dengan hati yang hidup, akan menjadi orang yang selamat di akhir zaman,” katanya yang juga penceramah jemputan stesen radio Zayan.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang turut dihadiri oleh seorang lagi panel program, Da’i Izzhar Nazri serta Pengurus Jenama Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor di ibu negara semalam.

Baca juga : Nuzul Quran: Peristiwa agung mengubah sejarah peradaban manusia

Tambah beliau, terdapat banyak persoalan yang sering diajukan oleh masyarakat berkaitan isu kiamat dan kemunculan tokoh-tokoh besar dalam sejarah akhir zaman seperti Imam Mahdi dan Dajjal.

“Hari ini ramai orang tanya saya, ‘Ustaz, agak-agak bila kiamat?’ Ramai juga tanya, ‘Bilakah Imam Al-Mahdi keluar? Bila Dajjal keluar?’

“Jawapan ini sebenarnya telah dijawab oleh Nabi SAW. Baginda bersabda bahawa kiamat tidak akan berlaku selagi mana 10 tanda besar kiamat belum berlaku.

“Imam Mahdi perlu muncul dahulu, kemudian matahari akan terbit dari sebelah barat,” jelas beliau.

Sementara itu, Izzhar berkata, pendekatan yang dibawa dalam program kali ini menggabungkan garis masa akhir zaman bersama kaedah spiritual psikologi khusus buat mereka yang bergelut dengan pelbagai ujian hidup.

“Gabungan Timeline Akhir Zaman, digandingkan dengan kaedah spiritual psikologi yang boleh membawa luka dan segala ujian pulang ke satu jalan yang paling tenang dan bahagia iaitu jalan pulang kepada Allah,” katanya.

Selain itu, Izzhar berkata, program kali ini turut mengambil kira pendekatan lebih mesra generasi muda, antaranya pemilihan lokasi yang lebih santai dan tidak terlalu konvensional.

“Sebenarnya kami ada pilihan tempat tempat dan kenapa kami pilih di sini, ini salah satu mesej yang kami nak sampai kepada anak muda yang hari ini dia ada islamophobia.

“Mereka mungkin ada tanggapan Masjid adalah bukan untuk aku sebab ustaz-ustaz nanti dia ‘judge’ aku, kalau jumpa pula yang jenis pakai jubah-jubah ni dia mesti nak hukum aku.

“Jadi kita cuba untuk bawa pendekatan, insyaAllah untuk program kita nanti kita akan buat dalam jangkaan kita akan buat sebuah hotel yang mana untuk memberi ruang kepada anak-anak muda lebih selesa datang ke program ini,” katanya.

Dalam sidang media sama, Wan Syahrul berkata, keunikan program ini turut terletak pada gaya penyampaian kedua-dua penceramah yang santai namun penuh isi.

“Da’i Izzhar dan Dr Ashraff memiliki kepakaran masing-masing dalam dunia motivasi dan ceramah berkaitan akhir zaman.

“Saya yakin dengan sambutan segmen mereka di radio Zayan, program Jalan Pulang ini bakal meletakkan satu tanda aras baharu yang dakwah boleh disampaikan dalam gaya rugged dan santai demi menarik pengikut-pengikut dari kalangan anak muda,” katanya.

Dua lokasi menjadi pilihan penganjuran ‘Jalan Pulang: Tenang & Menang di Akhir Zaman’ iaitu Kelantan pada 23 Ogos dan Kuala Lumpur pada 25 Oktober ini.

Maklumat lanjut berkaitan program boleh diperoleh dengan menghubungi Karim di talian 010-5823055.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button