
SETIAP kali tibanya 17 Ramadan, umat Islam di seluruh dunia memperingati satu peristiwa agung yang mengubah sejarah kehidupan dan peradaban manusia selamanya iaitu Nuzul Quran.
Ia merupakan malam penuh keberkatan yang menyaksikan turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW pada usia 40 tahun melalui perantaraan malaikat Jibril AS di Gua Hira’ iaitu lima ayat pertama surah Al-‘Alaq yang bermaksud:
“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Peristiwa itu bukan sekadar sejarah, tetapi sebuah detik yang membawa sinar hidayah, membimbing umat manusia keluar daripada kegelapan kejahilan menuju cahaya keimanan.
Ini kerana ayat pertama surah tersebut menekankan kepentingan ilmu, membaca dan pendidikan dalam Islam.
Pensyarah Program Pengajian Akidah dan Agama, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Najaa’ Mokhtar berkata, umat Islam seharusnya perlu mensyukuri nikmat kurniaan Al-Quran yang diturunkan Allah SWT sebagai panduan hidup.
“Al-Quran menyentuh pelbagai aspek kehidupan yang menjamin kebahagian sama ada dengan membacanya dan juga beramal dengan pengajaran di dalamnya.

“Di samping itu, Al-Quran merupakan mukjizat yang dipelihara oleh Allah SWT hingga Hari Kiamat yang menjadi bukti ia tiada tandingannya.
“Oleh itu, umat Islam tidak perlu meragui lagi kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang datangnya dari Pencipta alam semesta.
“Malah, mereka juga perlu sedar betapa besarnya kesan kehadiran Al-Quran yang menjadi inspirasi Rasulullah SAW untuk menyebarkan dakwah ke seluruh pelosok dunia tanpa takut malah dengan keberanian yang menyala-nyala.
“Keserasian agama Islam terhadap masyarakat dunia jelas terlihat apabila Islam berkembang pesat dari timur ke barat, dari utara ke selatan hingga kita juga mendapat limpahan rahmat Islam di negara kita.
“Dan hingga kini, Al-Quran tetap menjadi pedoman hidup bagi umat Islam untuk pembentukan sahsiah dan masyarakat harmoni sepanjang zaman,” kata beliau kepada Malaysia Tribune.
Menurut Dr. Ahmad Najaa’, dalam menghadapi cabaran kehidupan moden seperti kemajuan teknologi dan krisis moral yang berlaku pada masa kini, Al-Quran merupakan petunjuk dan pedoman terbaik untuk mengatasinya.

“Hakikatnya Al-Quran telah membuktikan banyak perkara yang berkait dengan sains dan teknologi yang kini baru disedari oleh para saintis.
“Bermula dengan ayat pertama diturunkan iaitu surah Al-‘Alaq, ia menzahirkan betapa pentingnya menuntut ilmu yang disandarkan kepada Maha Pencipta manusia yang dijadikan daripada segumpal darah.
“Sementara teknologi yang ada hingga kini tidak mampu mengatasi ciptaan Allah SWT walau dicabar dengan seekor lalat. Namun begitu, teknologi yang ada pada zaman ini sebenarnya banyak terinspirasi dengan Al-Quran,” jelas beliau.
Tambahnya, sebagai contoh Global Positioning System (GPS) iaitu teknologi navigasi berasaskan satelit yang membolehkan pengguna menentukan lokasi mereka dengan tepat di mana-mana sahaja di dunia dicipta berpandukan ayat 16 surah An-Nahl yang bermaksud: “Dengan bintang, mereka jadikan panduan (untuk mengembara dan belayar).”

Selain itu, beliau memberitahu, Al-Quran juga membuktikan bahawa bumi ini dijadikan bujur seperti firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra’d, ayat 41 yang bermaksud: “Tidakkan kamu melihat bahawa kami jadikan bumi bujur (tepinya tidak bersegi dan tidak begitu bulat).”
Bagi memperkukuhkan penghayatan Al-Quran dari sudut memahami dan mengamalkan ajarannya dalam kalangan generasi muda, Dr. Ahmad Najaa’ menekankan bahawa ia perlu kepada usaha bersepadu daripada semua pihak, sama ada individu, keluarga, masyarakat mahupun kepimpinan negara.
“Perlu diingat bahawa Al-Quran bukan sekadar kitab suci untuk dibaca, tetapi ia adalah panduan hidup yang perlu difahami, diamalkan dan dijadikan rujukan dalam setiap aspek kehidupan kita.
“Justeru, banyak langkah yang boleh diambil bagi memastikan umat Islam terus berpegang teguh dengan Al-Quran.
“Antara bacalah ia secara berterusan setiap hari walaupun sedikit kerana melalui amalan ini, ia mampu memupuk kecintaan terhadap Al-Quran serta menjadikan hati lebih dekat dengan Allah SWT,” ujar beliau.

Di samping itu, umat Islam perlu berusaha membaca Al-Quran dengan tajwid yang betul serta memahami maknanya agar dapat meningkatkan ilmu serta kefahaman terhadap ajaran Islam.
“Setiap Muslim juga harus memahami maksud ayat-ayat Al-Quran yang dengannya membolehkan mereka menghayati mesej yang ingin disampaikan oleh Allah SWT seterusnya menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.
“Paling penting, jika terdapat sebarang kekeliruan, persoalan hidup dan sebagainya, umat Islam perlu merujuk kepada Al-Quran dan ahlinya iaitu mereka yang pakar dalam bidang tersebut seperti para ulama dan guru agama bagi mengelakkan sebarang salah faham mengenainya,” tegas Dr. Ahmad Najaa’ lagi.
Beliau turut menambah agar orang Islam mempelajari ilmu-ilmu berkaitan Al-Quran seperti tafsir, tajwid serta sejarah penurunan Kalamullah kerana ia akan membantu mereka memahami konteks ajaran Islam dengan lebih baik dan mengamalkannya secara menyeluruh.

Melalui usaha yang berterusan sebegini, generasi muda dapat dididik untuk menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup, membentuk masyarakat yang berpegang teguh kepada nilai Islam serta menjamin kesejahteraan umat di dunia dan akhirat
Apa yang pasti, Al-Quran bukan hanya kitab suci, tetapi satu pedoman kehidupan yang lengkap dan mukjizat terbesar yang kekal hingga ke akhir zaman.
Justeru, pada hari yang mulia ini, marilah kita menghayati makna sebenar Al-Quran dalam kehidupan, bukan sekadar sebagai bacaan tetapi sebagai panduan dalam setiap langkah dan keputusan kita selagi masih bernyawa.
Iqra’. Bacalah!
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |