BERITA SEMASADALAM NEGERI

Masyarakat berbilang kaum sambutan kemeriahan Ramadan di Mulia Residences

CYBERJAYA – Lebih 250 penduduk hadir memeriahkan majlis berbuka puasa sempena sambutan Nuzul Quran di The Mulia Residences, baru-baru ini.

Majlis yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Surau The Mulia Residences itu bertujuan mengeratkan hubungan sesama jiran tetangga.

Pengarah program, Mohd Ainuddin Aliff Salehuden berkata, inisiatif ini menjadi platform terbaik untuk memupuk semangat kejiranan dan perpaduan dalam komuniti.

“Setiap malam, surau kami menganjurkan sesi moreh yang ditaja secara bergilir-gilir oleh penduduk.

“Lebih menarik, persiapan moreh turut mendapat bantuan daripada jiran-jiran bukan Muslim sementara penduduk beragama Islam masih menunaikan solat tarawih,” katanya.

Majlis tahun ini turut diserikan dengan kehadiran penceramah selebriti, Ustaz Nabil Ahmad, yang berkongsi ilmu dan memberikan tazkirah kepada para hadirin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Surau, Nor Effendi Nordin.

Penduduk The Mulia Residences menunaikan solat terawih sempena sambutan Nuzul Quran, baru-baru ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Surau, Muhammad Shafeek Mat Seddek berkata, penganjuran majlis berkenaan adalah hasil daripada komitmen dan kerjasama erat antara penduduk setempat.

“Daripada penyediaan makanan dan minuman hinggalah kepada logistik seperti meja serta kerusi, semuanya adalah hasil tajaan jiran tetangga.

“Seawal pukul 2 petang, penduduk sudah bergotong-royong menyediakan tempat berbuka dan menyusun makanan bagi memastikan kelancaran majlis,” ujarnya.

Muhammad Shafeek berkata, majlis itu bukan sahaja mengeratkan hubungan kejiranan tetapi juga mencerminkan semangat kebersamaan serta sikap tolong-menolong dalam kalangan penduduk The Mulia Residences.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button