Tauliah mengajar penceramah bebas disyaki sebar video lucah ditarik sejak 2022
CYBERJAYA – Individu dipercayai penceramah bebas yang menyebarkan video seks dengan isterinya baru-baru ini, sudah ditarik balik tauliah mengajar sejak 2022.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin dalam satu kenyataan berkata, individu itu juga pernah ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada September 2024 kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah yang bersalahan dengan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
“Untuk makluman, kes berkenaan masih di peringkat perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah.
“Dalam kes tersebut, seorang individu yang juga merupakan salah seorang pentadbir surau turut disiasat kerana disyaki telah menyebabkan ceramah tanpa tauliah tersebut berlaku,” kata Salehuddin dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Beliau menegaskan, isu penceramah tanpa kuliah sentiasa dipantau rapat menerusi pihak JAIS dan tindakan undang-undang dan tatatertib yang sewajarnya akan diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat.
“MAIS juga ingin mengingatkan pihak masjid dan surau di Negeri Selangor dan semua umat Islam supaya sentiasa memastikan penceramah agama yang diundang mempunyai tauliah mengajar agama Islam yang dikeluarkan oleh MAIS atau telah mendapat pengecualian sewajarnya daripada MAIS menurut undang-undang yang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu lagi.
Tambahnya, sejak tahun 2022, MAIS telah menarik balik tauliah mengajar agama melibatkan 35 individu kerana beberapa kesalahan yang melibatkan perlanggaran syarat tauliah mengajar, melakukan pengajaran yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, melakukan perbuatan jenayah dan memegang jawatan dalam politik.
“Bagaimanapun, MAIS kesal dengan segelintir individu yang masih terus mengajar agama Islam di negeri Selangor walaupun tidak mempunyai tauliah mengajar ataupun tarikh tauliahnya telah luput.
“Malah masih terdapat penceramah bertauliah yang melanggar syarat tauliah dan etika yang ditetapkan.
“Semua kejadian yang berlaku ini disebabkan terdapat segelintir pentadbir masjid dan surau yang tidak mengambil berat untuk memantau penceramah-penceramah yang mengajar di masjid dan surau mereka agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa,” katanya lagi.
Menurut MAIS, sikap sebegini hanya akan mengundang persepsi negatif masyarakat dan memberi imej yang buruk terhadap agama Islam dan agensi Islam dan jika dibiarkan, boleh menyumbang kepada berlakunya penyelewengan dalam pengajaran agama Islam yang sebenar mengikut pegangan Ahli Sunnah Waljamaah.
“Sehubungan itu, semua pihak digesa untuk memahami dan mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
“MAIS menegaskan bahawa semua dasar mahupun keputusan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama dibuat dengan teliti serta telah disembah maklum dan diperkenankan oleh DYMM Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam.
“Semua dasar dan ketetapan ini juga dibuat bertujuan untuk menjaga kepentingan umat Islam di Negeri Selangor,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











