BERITA SEMASA

Solat Jumaat di Musolla IOI City Mall hanya kebenaran sementara – MAIS

PUTRAJAYA – Kebenaran mendirikan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall, di sini yang berkuat kuasa sejak 6 September 2024 adalah bersifat sementara dan akan ditamatkan sebaik sahaja sebuah masjid baharu berhampiran siap dibina bagi memenuhi keperluan jemaah.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, kebenaran solat Jumaat itu diputuskan oleh MAIS melalui Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor (JATUMS) selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Salehuddin Saidin
Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin.

“MAIS mengambil maklum pelbagai respon ditimbulkan berhubung pelaksanaan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall, Putrajaya susulan kenyataan media MAIS bertajuk ‘Ketetapan Berhubung Kebenaran Solat Jumaat di Surau/Musolla Pusat Beli-belah di Negeri Selangor’ yang dikeluarkan pada 8 Julai lalu.

“MAIS sekali lagi menegaskan bahawa kebenaran solat Jumaat yang diberikan kepada Musolla IOI City Mall tersebut adalah bersifat sementara.

“Kebenaran itu akan terhenti jika masjid baharu berhampiran premis berkenaan dibina dan mampu memenuhi keperluan jemaah termasuk pekerja di premis tersebut untuk mendirikan solat Jumaat.

“Sebagai makluman, Musolla berkenaan terletak di dalam kompleks beli-belah IOI City Mall, Putrajaya di daerah Sepang yang berada dalam pengawasan dan pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah Sepang di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kelulusan itu diberikan selepas penelitian mendapati terdapat keperluan yang mendesak untuk menyediakan kemudahan solat Jumaat kepada pekerja dan pengunjung Muslim di kompleks beli-belah berkenaan.

“Melalui pemeriksaan dan penelitian di lokasi ketika itu, didapati premis itu mempunyai ramai kakitangan dan pekerja lelaki beragama Islam di samping menerima pengunjung termasuk dari kalangan lelaki beragama Islam.

“Mereka berhadapan kesukaran untuk menunaikan solat Jumaat memandangkan kedudukan masjid yang agak jauh daripada premis berkenaan.

“Masjid yang terdekat dengan premis berkenaan adalah Masjid Al-Mustaqim Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda yang terletak pada jarak lebih kurang 7.6 kilometer dan Masjid UNITEN, Kajang yang terletak pada jarak lebih kurang 7.7 kilometer,” katanya.

Menurut beliau, selain faktor jarak, kedua-dua masjid berhampiran juga tidak mempunyai kapasiti mencukupi untuk menampung pertambahan jemaah ketika solat Jumaat.

Beliau berkata, MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus memastikan pengurusan dan pelaksanaan solat Jumaat di Negeri Selangor dilaksanakan secara teratur, mematuhi kehendak hukum syarak serta selaras dengan peruntukan undang-undang demi menjaga kemaslahatan umat Islam di Negeri Selangor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button