MAIS menentang keras normalisasi budaya LGBT
SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) membantah keras sebarang bentuk aktiviti atau program yang bertujuan mempromosi, menyokong, dan menormalisasikan gaya hidup songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pihaknya mengambil perhatian serius susulan laporan media berhubung penganjuran program melibatkan komuniti tersebut kerana ia jelas bercanggah dengan ajaran Islam.
“MAIS mengingatkan orang Islam agar tidak menyertai, mempromosi, menyokong atau membabitkan diri dalam apa-apa aktiviti yang boleh dikaitkan dengan normalisasi gaya hidup songsang dan LGBT.
“Gaya hidup ini bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, malah ia turut bercanggah dengan undang-undang, nilai budaya timur dan norma masyarakat di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca juga : Kerajaan Selangor gesa pihak berkuasa jalankan siasatan program ‘Glamping With Pride’
Dalam pada itu, Salehuddin berkata, MAIS menyeru masyarakat Islam agar sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama Islam serta tidak mudah terpengaruh dengan agenda normalisasi LGBT yang boleh meruntuhkan moral dan akhlak masyarakat Islam.
Katanya, MAIS menasihatkan mereka yang sudah terjebak dengan gaya hidup songsang itu untuk kembali kepada fitrah dengan mengikuti program pemulihan yang dijalankan oleh MAIS, pihak berkuasa agama lain atau badan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan pemulihan yang berkaitan.
“MAIS menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi Kerajaan untuk memastikan aktiviti normalisasi dan penyebaran pengaruh hidup songsang dan LGBT ini yang merosakkan masyarakat ini dapat disekat dan dicegah.
“MAIS juga akan bersama-sama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan agensi kerajaan lain untuk memperkukuh pendidikan akhlak, penyebaran dakwah dan nilai Islam serta memperkemas program pemulihan kepada masyarakat Islam sebagai suatu usaha untuk memastikan budaya songsang ini tidak lagi diamalkan di negeri ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








