BERITA SEMASA

Pejabat MB Selangor nafi dakwaan WhatsApp, sifatkan tuduhan bermotif politik

SHAH ALAM – Pejabat Menteri Besar Selangor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengaitkan seorang pegawai Pejabat Menteri Besar dengan tuduhan tertentu melalui aplikasi Whatsapp ketika Datuk Menteri Besar sedang membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri semalam.

Kenyataan itu berkata, dakwaan tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah berunsur fitnah serta sengaja diwujudkan bagi mengalih fokus rakyat terhadap agenda pembangunan negeri.

“Dakwaan liar ini jelas menyeleweng, tidak berfakta serta tidak mempunyai sebarang asas.

“Ia cubaan mencemarkan nama baik pegawai terlibat dan menjadi sebahagian taktik politik tidak matang yang hanya membina persepsi jahat, liar dan palsu,” menurut kenyataan itu hari ini.

Pejabat Menteri Besar turut berkata, pegawai yang terkesan akan membuat laporan kepada pihak berkuasa sebagai tindakan bertanggungjawab bagi menghentikan penyebaran fitnah.

“Kita mahu memastikan fokus kembali kepada usaha membangunkan negeri dan mengangkat martabat rakyat, bukan melayan serangan politik yang berniat memecah belahkan,” katanya lagi.

Sebelum itu, MalaysiaKini melaporkan
sebuah grup WhatsApp bernama “MB Selangor” muncul dan menularkan pelbagai dakwaan terhadap seorang pemimpin PKR yang dikatakan rapat dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pentadbir kumpulan itu, dikenali sebagai “Madani”, mempersoalkan kekayaan mendadak, pembelian banglo RM3 juta, gaya hidup mewah serta dakwaan pemimpin tersebut memegang terlalu banyak jawatan berkaitan kerajaan negeri.

Turut dikongsi ialah gambar percutian keluarga, senarai syarikat yang didakwa menerima projek melalui jaringan pemimpin itu, serta tuduhan mengambil “15 peratus” daripada kontrak tertentu.

Hantaran tersebut turut mencabar pemimpin itu membuat laporan polis dan menggesa SPRM menyiasat.

Pemimpin yang dituduh enggan mengulas, manakala Malaysiakini tidak menamakan individu tersebut kerana dakwaan tidak dapat disahkan.

Kumpulan itu turut menghantar mesej kepada Amirudin agar menjelaskan isu berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button