Nutrisel: 106,435 murid Selangor mula nikmati sarapan percuma
SHAH ALAM – Seramai 106,435 murid dan pelajar daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,000 di Selangor mula menikmati manfaat Bantuan Sarapan Percuma Sekolah menerusi Program Nutrisi Selangor (Nutrisel) yang bermula semalam.
Pelaksanaan program itu melibatkan 962 sekolah di seluruh negeri secara serentak, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM14.4 juta menerusi kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sungai Buloh, Norzainiza Buyong berkata, inisiatif itu membantu murid daripada keluarga kurang berkemampuan mendapatkan makanan seimbang sebelum memulakan sesi pembelajaran.
“Program ini banyak membantu ibu bapa dalam kalangan B40. Hari pertama ini kita melihat mereka sangat gembira menerima makanan.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Datuk Menteri Besar kerana menyediakan program yang membantu murid mendapatkan makanan berkhasiat untuk tumbesaran dan minda mereka,” memetik Media Selangor online.
Menurutnya, pelaksanaan Nutrisel turut melengkapi usaha sedia ada menerusi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), selain mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan murid.
Beliau berharap program berkenaan dapat diteruskan sebagai sebahagian daripada dasar pentadbiran negeri bagi memastikan lebih ramai murid menerima manfaat makanan berkhasiat.
“Saya berharap program ini dapat dikekalkan dan diteruskan kerana ia menunjukkan Kerajaan Negeri mempunyai inisiatif yang baik dalam membantu anak-anak Selangor,” katanya lagi.
Sementara itu, pengusaha kantin SK Bandar Baru Sungai Buloh, Siti Hajar Mohd Ali berkata, pelaksanaan program berkenaan memberi kelegaan selepas beliau sering melihat terdapat murid yang hadir ke sekolah tanpa wang belanja mencukupi.
“Sebelum ini ada murid yang hanya melihat rakan mereka menikmati makanan di kantin kerana tidak mampu membeli makanan sendiri.
“Saya sendiri sebagai pengusaha kantin melihat setiap hari ada murid yang tidak membawa duit dan kami beri sahaja secara percuma kerana tidak sanggup melihat mereka tidak makan.
“Apabila Datuk Menteri Besar sendiri melaksanakan program ini, kami bersyukur kerana sekurang-kurangnya mereka dapat mengisi perut dengan makanan berkhasiat dan membantu mereka belajar dalam kelas,” katanya lagi.
Program Nutrisel menyediakan bantuan makanan percuma kepada murid dan pelajar setiap Isnin dan Khamis bermula 3 Ogos hingga Oktober depan.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dibentangkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Mesyuarat Khas Dewan Negeri Selangor (DNS) Jun lalu.
Pakej berkenaan diperkenalkan sebagai langkah kerajaan negeri menangani cabaran peningkatan kos susulan gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan pasaran tenaga global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















