Pakej daya tahan Selangor: Nurul Syazwani tuntut ketelusan, persoal keutamaan kerajaan negeri
SHAH ALAM – Ahli Dewan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh mendesak Kerajaan Negeri Selangor memberikan penjelasan terperinci berhubung pelaksanaan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM355.06 juta yang diumumkan baru-baru ini.
Meskipun menyambut baik usaha kerajaan negeri dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat, Nurul Syazwani membangkitkan tiga persoalan kritikal yang disifatkannya sebagai keperluan mendesak demi memastikan ketelusan dan keberkesanan tadbir urus negeri.
Isu pertama yang dibangkitkan beliau adalah mengenai kerumitan sistem penyaluran bantuan yang menggunakan platform digital berbeza.
Menurut beliau, penggunaan aplikasi yang berasingan bagi bantuan yang sama iaitu kerajaan negeri, hanya membebankan rakyat.
“Mengapa kerajaan negeri masih menggunakan dua aplikasi berbeza iaitu SELangkah dan Nine untuk menyalurkan bantuan kerajaan?
“Baucar Kita Selangor menggunakan SELangkah, manakala Program Mama Kerja dan subsidi pengangkutan menggunakan Nine.
“Persoalannya mudah, mengapa rakyat perlu menggunakan pelbagai aplikasi untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan yang sama?
“Jika matlamat pendigitalan adalah untuk memudahkan rakyat, maka sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan konsep Single Window Government Service dengan satu aplikasi, satu akaun dan satu pintu masuk bagi semua bantuan kerajaan negeri,” tegas beliau menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasminya.
Selain isu pendigitalan, Nurul Syazwani turut mempersoalkan punca dana sebenar bagi pakej bantuan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa rakyat berhak mengetahui asal-usul peruntukan RM355.06 juta berkenaan bagi mengelakkan spekulasi serta memastikan prinsip akauntabiliti dipatuhi.
“Rakyat berhak mengetahui daripada mana datangnya RM355.06 juta yang diumumkan dalam pakej ini. Adakah ia peruntukan baharu, lebihan hasil negeri, penjimatan daripada peruntukan sedia ada atau sumber lain?
“Ini bukan soal menolak bantuan kepada rakyat, tetapi soal ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengkritik fokus kerajaan negeri dalam isu keterjaminan makanan.
Beliau menyifatkan peruntukan yang diberikan tidak selari dengan keperluan sebenar pengeluar makanan di lapangan.
“Kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk Gudang Makanan Selangor, tetapi hanya RM25 juta untuk membantu lebih 14,000 pesawah, petani, nelayan, penternak dan pengusaha akuakultur yang menjadi pengeluar makanan negeri ini.
“Persoalannya, mengapa kita melabur lebih banyak untuk menyimpan makanan berbanding menghasilkan makanan?
“Gudang boleh dibina dalam masa yang singkat. Tetapi untuk melahirkan seorang pesawah, petani atau pengeluar makanan mengambil masa bertahun-tahun.
“Keterjaminan makanan tidak boleh bergantung kepada gudang semata-mata. Keterjaminan makanan bermula dengan memastikan sektor pertanian terus berdaya maju, menguntungkan dan mampu menarik generasi muda untuk meneruskannya,” jelas beliau lagi.
Nurul Syazwani juga menekankan bahawa ukuran sebenar sesebuah kerajaan yang baik tidak terletak pada besarnya jumlah peruntukan mahupun banyaknya aplikasi yang dibangunkan.
Sebaliknya, ia diukur berdasarkan keberkesanan dasar dalam menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi oleh rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






