Mat Sabu puji Anwar, utamakan kebajikan rakyat dalam setiap keputusan
JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat walaupun berdepan tekanan dalam membuat keputusan besar membabitkan dasar kerajaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kesungguhan Anwar dalam memastikan kebajikan rakyat menjadi keutamaan dapat dilihat menerusi beberapa keputusan kerajaan termasuk berkaitan subsidi makanan.
Beliau berkata, keputusan untuk menstruktur semula subsidi ayam dan telur sebelum ini dibuat selepas melalui proses perbincangan panjang dengan pemain industri bagi memastikan harga tidak membebankan rakyat.
“Berkali-kali dia kata mari bincang lain. Kalau hapus ini nanti harga naik macam mana, bagaimana kita jawab kepada rakyat. Akhirnya kita buat keputusan selepas melihat keadaan dan harga tidak naik,” katanya ketika berucap pada Program Grand Finale Harapan Johor Selatan di Taman Pelangi Indah, di sini malam tadi.
Baca juga : Jangan ulang formula di Selangor, rakyat Johor bijak menilai – Mohamad Sabu
Mohamad berkata, pendekatan sama turut dilakukan dalam isu subsidi beras apabila kerajaan mengambil kira kepentingan golongan berpendapatan rendah sebelum membuat sebarang keputusan.
Beliau turut memuji usaha Anwar mendapatkan jaminan bekalan tenaga negara melalui hubungan diplomatik dengan pelbagai negara ketika berlaku ketidaktentuan geopolitik dunia.
Katanya, hubungan Malaysia dengan pelbagai kuasa dunia termasuk Amerika Syarikat, Rusia, China dan negara lain menunjukkan dasar berkecuali kerajaan masih dipertahankan.
Dalam perkembangan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) menyeru pengundi supaya memberi peluang kepada PH untuk meneruskan agenda perubahan.
Beliau berkata, kerjasama kerajaan perpaduan yang dibentuk antara pelbagai parti mampu bertahan walaupun terdapat perbezaan pandangan.
“Siang bersama, malam berbeza. Tetapi kita bentuk kerajaan dan berjalan hampir empat tahun. Yang penting kita menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















