Siasatan fitnah terhadap MAIS selesai, tunggu keputusan AGC – Polis Selangor
SHAH ALAM – Pihak polis telah melengkapkan siasatan berhubung dakwaan fitnah terhadap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang melibatkan pemilik akaun TikTok daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kini menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara (AGC).
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah diserahkan kepada AGC selepas pihak polis selesai mengambil keterangan daripada individu terlibat.

Menurutnya, sebarang tindakan lanjut bergantung kepada keputusan serta arahan pihak AGC.
“Polis telah melengkapkan siasatan dan telah diedarkan, dan kini berada di AGC untuk keputusan dan arahan selanjutnya.
“Jadi, saya meminta masyarakat untuk bersabar sementara menunggu keputusan daripada AGC,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Larian Diraja Selangor bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas menerima laporan daripada MAIS pada 16 April lalu.
Berdasarkan laporan itu, pengadu mendakwa kandungan video yang dimuat naik di TikTok berunsur fitnah kerana melemparkan tuduhan rasuah serta dakwaan penyalahgunaan imuniti istana yang dilihat sengaja dibuat bagi menjejaskan imej MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor.
Sebelum itu, MAIS memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang termasuk memfailkan saman fitnah terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan dakwaan tidak benar berkaitan isu tunggakan bayaran projek pembinaan Masjid Al-Madaniah di Jalan USJ 18/7, Subang.
Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, pihaknya memandang serius penularan sebuah video TikTok yang mendakwa kononnya berlaku isu tunggakan bayaran serta salah urus melibatkan MAIS dalam projek pembinaan masjid berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













