DALAM era digital yang berkembang pesat, hampir setiap aspek kehidupan manusia meninggalkan jejak elektronik. Telefon pintar, komputer riba, media sosial, aplikasi pesanan mesej malah mata wang kripto kini menjadi sebahagian daripada rutin harian.
Namun, di sebalik kemudahan canggih teknologi tersebut, ia turut membuka ruang kepada pelbagai bentuk jenayah yang semakin kompleks. Justeru, keupayaan mengesan, menganalisis dan mengesahkan bukti digital menjadi elemen penting dalam memastikan sesuatu siasatan dapat dibuktikan secara saintifik di mahkamah.
Peranan inilah yang dipikul oleh Bahagian Forensik Teknologi (BFT), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sebuah bahagian yang menjadi tunjang kepada penyiasatan moden berasaskan bukti digital.
BFT SPRM beroperasi dengan empat bidang kepakaran utama iaitu Forensik Komputer, Forensik Telefon Bimbit, Forensik Audio dan Video serta Forensik Dokumen. Keempat-empat bidang ini saling melengkapi dalam membantu pegawai penyiasat mendapatkan bukti yang sah dan boleh diterima di mahkamah.
Peranti digital boleh dianggap sebagai ‘cermin kehidupan’ seseorang kerana hampir semua aktiviti harian direkodkan di dalamnya. Justeru, setiap proses mendapatkan bukti perlu dilakukan secara teliti mengikut kaedah saintifik supaya integriti data kekal terpelihara.
Atas sebab itu, setiap proses pemeriksaan dimulakan dengan proses data acquisition atau perolehan data secara forensik, iaitu proses menghasilkan salinan forensik tanpa mengubah kandungan asal barang kes.
Sepanjang proses tersebut, pegawai forensik menggunakan nilai hash, yang berfungsi seperti cap jari digital. Ini adalah bagi memastikan setiap fail kekal sama dan tidak mengalami sebarang perubahan. Sekiranya integriti data terjejas atau bukti didapati telah diusik, ia berisiko ditolak oleh mahkamah kerana tidak lagi memenuhi piawaian pembuktian.
Keupayaan tersebut diperkukuh menerusi pengiktirafan Makmal Forensik Teknologi SPRM yang mendapat akreditasi di bawah piawaian MS ISO/IEC 17025:2017 daripada Jabatan Standard Malaysia.
Pensijilan antarabangsa ini membuktikan setiap analisis dilaksanakan mengikut prosedur dan standard antarabangsa yang diiktiraf, sekali gus meningkatkan kredibiliti bukti digital yang dikemukakan dalam prosiding mahkamah.
Selain menjalankan analisis di makmal, pegawai BFT turut memainkan peranan penting ketika operasi di lokasi kejadian.
Kepakaran mereka membantu pegawai penyiasat mengenal pasti peranti digital yang benar-benar mempunyai nilai pembuktian sebelum disita. Pendekatan ini bukan sahaja mempercepatkan proses siasatan, malah mengelakkan penyimpanan barang kes yang tidak berkaitan.
Seiring perkembangan teknologi kewangan digital, BFT turut memiliki keupayaan mengesan aset dalam bentuk mata wang kripto seperti Bitcoin. BFT SPRM mampu menjejaki dompet digital atau wallet sama ada berbentuk fizikal mahupun digital, sebelum tindakan pembekuan dan penyitaan dilaksanakan sekiranya aset tersebut dikenal pasti sebagai hasil aktiviti rasuah.
Bagi menyokong proses analisis, BFT menggunakan pelbagai peralatan forensik berteknologi tinggi seperti antaranya Microsystem AB XRY untuk mengekstrak data telefon bimbit, Forensic Tool Kit (FTK) bagi analisis komputer, Ocean System untuk pemeriksaan audio dan video serta Tubitak Bilgem bagi pemeriksaan dokumen dan pengesanan pasport palsu.
Dalam mendepani landskap jenayah siber yang semakin kompleks, penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) turut dimanfaatkan sebagai alat sokongan dalam siasatan.
AI membantu mengenal pasti corak luar biasa atau pattern anomalies dalam jumlah data yang besar, sekali gus mempercepatkan proses analisis. Walau bagaimanapun, AI bukan penentu mutlak. Ini adalah kerana setiap dapatan perlu disokong dengan bukti lain seperti rekod transaksi kewangan, penyata bank atau dokumen berkaitan sebelum sesuatu kesimpulan dibuat.
Pada masa sama, perkembangan teknologi turut membawa cabaran baharu kepada BFT antaranya ialah penggunaan teknik anti-forensik seperti pemadaman data secara menyeluruh (data wiping) dan teknologi enkripsi yang menyukarkan proses mendapatkan bukti.
Selain itu, kepantasan evolusi teknologi daripada rangkaian 2G kepada 5G menuntut pegawai sentiasa meningkatkan kompetensi melalui latihan dan pembelajaran berterusan.
Begitu juga dengan kemunculan teknologi deepfake iaitu manipulasi imej dan video yang kelihatan begitu realistik sehingga sukar dibezakan dengan rakaman asal. Dalam situasi ini, kepakaran forensik serta penggunaan peralatan khas membolehkan BFT mengesan sama ada sesuatu rakaman telah diubah suai atau dimanipulasi.
Hakikatnya, di sebalik setiap peranti digital tersimpan pelbagai maklumat yang mampu menjadi bukti penting dalam sesuatu siasatan. Kombinasi teknologi canggih terkini serta kemahiran dan kepakaran tenaga manusia akan memperkukuhkan keupayaan menyiasat bukti digital dalam era sekarang. Sinergi ini sekaligus dapat keberkesanan SPRM dalam membanteras rasuah serta memastikan setiap siasatan dilaksanakan secara profesional, telus dan berwibawa.
ARTIKEL OLEH:
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






