Luka semakin kering, gajah ‘Sulong Chalil’ masih dipantau – PERHILITAN
GERIK – Luka pada kaki hadapan kanan seekor gajah liar jantan dewasa yang dikesan berkeliaran di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di sini sejak 17 Ogos lalu, menunjukkan tanda-tanda semakin pulih.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak berkata, hasil pemantauan mendapati luka yang dialami gajah yang dipercayai Sulong Chalil itu semakin kering.
Menurutnya, keadaan fizikal dan tingkah laku gajah berkenaan juga adalah normal selain masih mampu makan serta bergerak dengan baik.
“Keadaan luka juga didapati semakin kering dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
“Hasil pemantauan mendapati keadaan luka yang dialami semakin kering dan menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
“PERHILITAN telah mengambil tindakan menggiring gajah itu kembali ke kawasan hutan serta melaksanakan pemantauan terhadap pergerakan dan keadaannya.
“Memandangkan gajah berkenaan masih kembali ke kawasan jalan raya, pemantauan dan tindakan menggiring akan diteruskan setiap hari dengan kekerapan dua kali sehari, iaitu pada waktu siang dan malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PERHILITAN berkata, pemantauan itu turut disusuli tindakan menggiring gajah berkenaan kembali ke kawasan hutan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta haiwan terbabit.
Dalam masa sama, kesiapsiagaan anggota di lapangan diperkukuh termasuk mendapatkan penilaian doktor veterinar bagi menentukan keadaan fizikal serta kecederaan gajah berkenaan dan keperluan tindakan susulan.
Sebagai langkah pencegahan, pengguna JRTB khususnya di sekitar Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Titiwangsa dinasihatkan memperlahankan kenderaan, terutama dalam lingkungan lima kilometer sebelum tiba di R&R berkenaan dari kedua-dua arah.
Mereka juga diminta sentiasa berhati-hati, tidak panik serta memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.
“Pengguna hendaklah sentiasa mematuhi arahan anggota penguat kuasa dan petugas PERHILITAN sekiranya berada di kawasan pemantauan serta tidak mengambil gambar atau merakam video gajah kerana tindakan itu boleh menyebabkan kenderaan berhenti dan mengganggu kelancaran aliran trafik.
“Sekiranya berdepan dengan hidupan liar termasuk gajah, pengguna jalan raya perlu peka dengan tidak berhenti atau keluar daripada kenderaan jika hidupan liar berada di bahu jalan dan tidak menunjukkan tingkah laku agresif atau apa jua bentuk provokasi,” menurut kenyataan itu lagi.
PERHILITAN menegaskan sebarang tindakan lanjut akan dilaksanakan berdasarkan keadaan semasa di lapangan dengan mengambil kira aspek keselamatan orang awam, pengguna jalan raya dan gajah berkenaan.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi www.wildlife.gov.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








