BERITA SEMASA

Tragedi anak gajah: Ahli Parlimen Gerik gesa tindakan segera lindungi ekosistem

GERIK – Usaha melindungi dan memulihara spesies hidupan liar seperti gajah liar perlu digiatkan segera bagi memastikan kelestarian ekosistem serta keselamatan pengguna jalan raya, khususnya di laluan panas seperti Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).

Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob berkata, kejadian seekor anak gajah mati digilis lori treler dalam kemalangan yang berlaku kelmarin, bukan sahaja menyayat hati malah mengundang kebimbangan berhubung isu keselamatan dan konflik antara manusia serta haiwan liar.

“Insiden ini amat mendukacitakan kami warga Parlimen Gerik dan seluruh rakyat Malaysia. Ia juga mengingatkan kita tentang pentingnya perlindungan habitat hidupan liar seperti gajah yang menjadi khazanah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seekor ibu gajah cuba menolak treler untuk menyelamatkan anaknya yang mati akibat dilanggar kenderaan terbabit.

Fathul Huzir berkata, pihaknya telah memohon laporan penuh daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik berhubung kejadian tersebut.

Katanya, isu pertembungan antara kenderaan dan haiwan liar di laluan JRTB bukan perkara baharu dan telah beberapa kali dibangkitkan beliau di Parlimen, termasuk menerusi Ucapan Perbahasan Titah Diraja pada 12 Februari lalu.

“Sejak awal tahun ini sahaja, saya menerima pelbagai aduan daripada penduduk setempat mengenai keperluan segera menaik taraf jalan serta pemasangan lampu solar bagi menghalau haiwan liar, termasuk gajah. Namun, masalah ini masih belum selesai sepenuhnya,” katanya.

Beliau menjelaskan walaupun terdapat kerjasama antara pelbagai agensi seperti Perhilitan, JKR, PDRM dan Jabatan Perhutanan, isu seperti kekurangan peruntukan, staf serta rondaan masih membelenggu usaha pemuliharaan dan pengawasan.

“Gajah bukan hanya simbol fauna negara tetapi warisan yang harus dipelihara demi tatapan generasi akan datang.

“Malaysia cukup bertuah kerana masih memiliki habitat haiwan unik seperti ini. Usaha pembangunan yang lebih lestari dan mesra alam harus dilaksanakan agar kita tidak kehilangan satu lagi aset berharga ciptaan Tuhan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button