Kerajaan komited tingkat keselamatan laluan FT004 Gerik–Jeli
GERIK – Susulan kemalangan yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini, kerajaan menegaskan komitmen berterusan dalam mempertingkatkan tahap keselamatan di laluan FT004 Gerik–Jeli.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tinjauan ke lokasi kejadian memperkukuh kesedaran mengenai keperluan mendesak untuk memperbaiki aspek keselamatan jalan, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
“Laluan FT004 merupakan antara tumpuan utama sejurus saya diberi amanah menerajui Kementerian Kerja Raya (KKR).
“Sebagai seorang bapa, insiden ini menyentuh perasaan saya, lebih-lebih lagi apabila melihat sendiri serpihan barangan peribadi mangsa di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, usaha penambahbaikan infrastruktur di laluan berkenaan telah pun dimulakan secara berperingkat.
Katanya, sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan pada Jun 2023, diikuti tambahan RM30 juta pada Ogos tahun sama, seperti diumumkan oleh Perdana Menteri.
“Laluan ini meliputi lebih 200 kilometer dan memerlukan perancangan menyeluruh.
“Walaupun jumlah peruntukan masih belum mencukupi untuk keseluruhan projek, KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) tetap komited memastikan dana diagihkan secara strategik bagi melaksanakan kerja-kerja paling kritikal terlebih dahulu,” ujarnya.
Alexander berkata bagi tahun 2025, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM55 juta untuk penyenggaraan laluan FT004.
Penilaian Kevadaan Turapan (PCA) telah dilaksanakan menggunakan teknologi terkini, dan laporan teknikal kini dalam proses penyediaan bagi menjadi panduan kepada kerja-kerja pembaikan pavemen.
Pada masa sama, kerja-kerja bukan pavemen turut giat dijalankan, termasuk pemasangan penghadang keselamatan dan papan tanda amaran. Setakat ini, kemajuan kerja telah mencapai tahap 10 peratus dan dijangka siap pada Ogos 2025.
Alexander turut memaklumkan bahawa lokasi kemalangan di Seksyen 170.4 dikenal pasti sebagai kawasan yang akan dilengkapi dengan lampu jalan berkuasa solar. Kerja pemasangan dijadual bermula Julai ini dan disasarkan siap pada Oktober 2025.
“KKR akan terus memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberikan impak langsung kepada rakyat, khususnya mereka yang bergantung pada laluan ini yang menjadi nadi penghubung penting antara Pantai Timur dan utara Semenanjung,” tambah beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








