UPSI tanggung kos pendaftaran pelajar B40 cemerlang
KUALA LUMPUR – Impian seorang pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah untuk melanjutkan pengajian menjadi kenyataan apabila Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyalurkan bantuan kewangan segera bagi menampung kos pengajian dan pendaftarannya.
Bantuan berjumlah RM2,207.55 itu diberikan kepada Muhammad Amirul Ashraf Ahjar, 18, yang akan mengikuti Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) di UPSI bermula 9 Jun ini.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, universiti itu komited memastikan pelajar yang berpotensi tidak tercicir daripada pendidikan tinggi hanya kerana berdepan masalah kewangan.

Menurut beliau, UPSI sentiasa berusaha memperluaskan akses pendidikan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang ekonomi, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“Tiada pelajar yang layak dan mempunyai potensi akademik seharusnya dinafikan peluang melanjutkan pengajian semata-mata kerana kesempitan hidup.
“Sejurus menerima maklumat mengenai kesukaran yang dihadapi pelajar ini, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) bersama Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) segera bertindak menyalurkan bantuan bagi memastikan proses pendaftarannya dapat dilaksanakan tanpa halangan,” katanya dalam kenyataan.
Muhammad Amirul merupakan pelajar aliran Sains Komputer dan Rekacipta yang memperoleh keputusan 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagaimanapun, beliau berdepan kesukaran untuk melanjutkan pengajian selepas bapanya yang bertugas sebagai anggota tentera dengan pendapatan RM1,602 sebulan disahkan menghidap penyakit jantung, manakala ibunya tidak bekerja.
Keluarga itu turut menanggung dua lagi anak yang masih bersekolah.
Dr Md Amin berkata, bantuan yang diluluskan menerusi WEZAS itu meliputi yuran pendaftaran, yuran pengajian serta yuran kolej kediaman bagi semester pertama pengajian Muhammad Amirul.
Katanya, bantuan tersebut bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah memberi ketenangan kepada pelajar untuk memulakan pengajian dengan lebih fokus.
“Kami menantikan kehadiran Amirul dan keluarganya pada hari pendaftaran nanti.
“Diharapkan bantuan ini dapat memberi kelegaan kepada keluarganya, terutama bapanya yang sedang menjalani rawatan, selain menjadi pemangkin kepada kejayaan akademik beliau,” katanya.
Beliau turut memaklumkan UPSI menyediakan pelbagai bentuk bantuan lain termasuk penangguhan bayaran yuran, bantuan zakat, dermasiswa, biasiswa dan pinjaman pendidikan bagi memastikan kebajikan mahasiswa terus terpelihara sepanjang tempoh pengajian.
Difahamkan, Muhammad Amirul bersama keluarganya akan bertolak dari Baling, Kedah sebelum bermalam di rumah saudara di Pantai Remis, Perak dan seterusnya hadir ke kampus UPSI bagi sesi pendaftaran pada 9 Jun ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








