Nahas UPSI: Pemandu bas mengaku tidak bersalah pandu secara berbahaya
GERIK – Seorang pemandu bas persiaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam tragedi ngeri yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Isnin lalu.
Memetik laporan KOSMO!, tertuduh Mohd. Amirul Fadhil Zulkifli, 39, membuat pengakuan itu selepas 15 pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.
Amirul didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam sehingga mengakibatkan kematian pelajar-pelajar UPSI iaitu Fakhrul Arif Rosdi, 20, Mohammad Aqil Taqiuddin Mohd. Sofian, 21, Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, Nurul Fatihah Abu Setaman, 22 dan Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21.
Turut terkorban dalam nahas itu ialah Sufea Adela Maslihaizan, 21, Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, Nur Dalila Farhana Mohamed Isma, 21, Nurly Sahirah Azman, 23; Fatin Nasrien Fadli, 22, Muhammad Mustaqim Rosde, 21, Anis Soffiyya Md. Zaidi, 20, Nor Ayuni Maslan, 21, Muhammad Adib Hazim Halim, 21 dan Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 53, JRTB Gerik-Jeli pada pukul 1.15 pagi, isnin lalu.
Tertuduh, yang merupakan bapa kepada tiga orang anak, didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000 jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak lebih lima tahun dari tarikh sabitan.
Pada prosiding sama, Amirul turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 42(1) akta sama atas kesalahan memandu secara berbahaya pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.
Jika disabitkan kesalahan mengikut seksyen itu, beliau boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Moganaraj Mithra.
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan syarat tambahan termasuk melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan semua dokumen perjalanan kepada mahkamah.
Lesen memandu tertuduh juga dicadangkan untuk digantung dan beliau tidak dibenarkan mengganggu mangsa atau saksi sepanjang prosiding berlangsung.
Namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500 hingga RM1,800, selain menanggung seorang isteri dan tiga anak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM19,000 untuk semua pertuduhan dengan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Julai depan bagi penyerahan dokumen dan pelantikan peguam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








