BERITA SEMASADALAM NEGERI

Nahas UPSI: Lebih 300 individu tampil derma darah di HRPB

IPOH – Lebih 300 individu tampil menderma darah di Pusat Derma Darah Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) di sini, susulan hebahan mengenai keperluan bekalan darah untuk membantu mangsa kemalangan bas melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, baru-baru ini.

Menurut kenyataan di laman Facebook rasmi Derma Darah Ipoh, seramai 336 penderma darah telah direkodkan hari ini, iaitu satu peningkatan ketara yang disambut baik oleh pihak hospital.

“Untuk makluman semua, mangsa kemalangan UPSI telah dibekalkan dengan darah yang mencukupi.

“Namun, bekalan darah di HRPB Ipoh masih belum berada di paras yang stabil kerana kadar penggunaan darah yang tinggi sempena musim perayaan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, hebahan mengenai keperluan darah untuk mangsa kemalangan terbabit telah menarik perhatian masyarakat.

Ia sekali gus mencetuskan gelombang solidariti dalam kalangan warga setempat yang prihatin terhadap keperluan perubatan semasa.

Dalam pada itu, Pusat Derma Darah HRPB turut menyeru orang ramai agar terus menjadikan amalan menderma darah sebagai budaya berterusan, bukan hanya ketika kecemasan atau insiden tertentu.

“Setiap titisan darah anda mampu menyelamatkan nyawa. Ayuh teruskan budaya derma darah dalam masyarakat demi kesejahteraan semua,” kata kenyataan itu lagi.

Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut apabila bas yang dinaiki mereka terbabas selepas melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button