BERITA SEMASA

Pemandu bas riba wanita ditamatkan perkhidmatan serta-merta – Sri Maju Group

KUALA LUMPUR – Pemandu bas ekspres yang tular di media sosial kerana memandu sambil meriba seorang wanita telah ditamatkan perkhidmatan serta-merta.

Dalam satu kenyataan, Sri Maju Group mengesahkan bahawa individu yang dipaparkan dalam video tersebut adalah pekerja syarikat berkenaan.

Menurutnya, insiden itu berlaku ketika bas beroperasi bagi laluan Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini ke Larkin di Johor Bahru, semalam.

Tindakan pemandu itu juga disifatkan amat mengecewakan, membimbangkan serta tidak boleh diterima kerana berpotensi membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.

“Susulan itu, pihak syarikat telah membuat satu laporan polis terhadap pemandu berkenaan berhubung insiden berkenaan selain kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Kami sedang beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa,” kata kenyataan tersebut.

BACA JUGA:

JPJ siasat video tular pemandu bas ekspres riba wanita ketika memandu 

Tambahnya lagi, pihak Sri Maju Group juga akan mengambil langkah penambahbaikan melalui pemantauan video dengan sistem pengawasan disediakan terhadap pemandu dan di dalam bas sudah dipasang pada bas baharu.

“Kerja pemasangan sedang dilaksanakan dengan kadar segera bagi bas sedia ada yang belum dilengkapi sistem berkenaan.

“Pihak syarikat memohon maaf kepada semua penumpang terbabit serta kepada orang awam. Keselamatan serta keselesaan penumpang sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kami.

“Tingkah laku dipaparkan dalam video berkenaan suatu pelanggaran serius terhadap prosedur operasi standard syarikat, selain bercanggah sama sekali tata etika profesional yang ditetapkan bagi semua pemandu kami,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button