BERITA SEMASA

Nahas bas UPSI: Pemandu bas mohon maaf, dakwa alami kerosakan brek

TAIPING – Pemandu bas yang terlibat dalam insiden kemalangan yang mengorbankan 15 pelajar pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Jeli-Gerik, awal pagi semalam tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa.

Mohd Amirul Fadhil Zulkifle, 39, turut mendakwa bas yang dipandunya mengalami masalah brek sebelum kejadian berlaku.

“Saya ingin memohon maaf kepada keluarga mangsa dan pelajar yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Apa yang berlaku adalah disebabkan kegagalan brek secara tiba-tiba,” katanya memetik laporan NST, hari ini.

Menceritakan kembali detik kejadian, Mohd Amirul berkata, bas yang dipandunya berada dalam keadaan baik ketika berlepas dari Terengganu namun mula mengalami masalah selepas melalui jambatan lintasan gajah di Gerik.

“Brek tiba-tiba tidak berfungsi tanpa sebarang amaran, dan pada masa yang sama, sistem udara (hidraulik) juga gagal,” katanya.

“Saya sudah cuba sedaya upaya, tetapi tanpa tekanan udara, semua sistem gagal. Brek tangan tidak berfungsi dan saya tidak dapat menukar gear.

“Saya cuba elak kenderaan lain. Saya ingat saya sempat mengelak sekurang-kurangnya empat buah kenderaan, termasuk sebuah lori, sebelum kemalangan berlaku.

“Kenderaan terakhir yang saya pintas ada dashcam. Saya tidak memandu laju, saya cuma cuba elakkan perlanggaran dengan kereta lain.

“Tapi jalan berselekoh dan saya sudah hilang kawalan,” katanya lagi.

Amirul berkata, dia sempat menjerit kepada pelajar supaya bersedia menghadapi hentaman.

“Yang duduk di bahagian hadapan mungkin terdengar. Tapi kebanyakan pelajar di belakang sedang tidur. Ada yang ingat saya marah.

“Saya anggarkan bas itu bergerak lebih satu kilometer dengan brek yang gagal. Saya sudah lakukan yang terbaik untuk mengelak kejadian yang lebih buruk,” katanya lagi.

Setelah berlaku pelanggaran, Amirul berkata, dia pengsan seketika, namun apabila sedar dia terus menjerit meminta pelajar keluar melalui cermin hadapan yang pecah.

“Saya merangkak keluar dan nampak pelajar-pelajar. Saya menangis. Saya sangat sedih. Tapi saya terima ini sebagai ujian daripada Allah.

“Sepanjang saya memandu bas, inilah kali pertama kemalangan yang berlaku melibatkan kematian. Saya rasa bersalah yang amat sangat.

“Tapi saya tak boleh putar balik masa. Apa yang saya boleh buat sekarang hanyalah memohon maaf dan biar pihak berkuasa jalankan siasatan mereka,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button