BERITA SEMASA

JPJ siasat video tular pemandu bas ekspres riba wanita ketika memandu

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memulakan siasatan terhadap seorang pemandu bas ekspres susulan penularan video yang memaparkan tindakan berbahaya apabila didakwa memandu sambil meriba seorang wanita.

Video berkenaan yang dipercayai dirakam oleh seorang penumpang, menunjukkan wanita tersebut turut memegang stereng ketika duduk di atas riba pemandu, walaupun bas sedang bergerak di lebuh raya.

Tindakan itu mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap tahap keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.

Selain itu, satu lagi rakaman berasingan yang dipercayai diperoleh daripada kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan yang mengekori bas tersebut turut tular di media sosial.

Rakaman itu menunjukkan bas berkenaan dipandu secara berbahaya dengan menyelit di celah kenderaan lain.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan di Facebook, bas ekspres tersebut dipercayai sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Kulai ketika kejadian berlaku.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, tindakan segera telah diambil sejurus video tersebut tular secara meluas.

“Siasatan segera dijalankan dan pemandu serta syarikat bas yang terlibat telah dikenal pasti.

“Pemandu berkenaan juga telah dipanggil untuk diambil keterangan pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, sebaik sahaja siasatan lengkap, kes tersebut akan dirujuk kepada Ketua Pengarah JPJ untuk tindakan dan arahan selanjutnya.

Muhammad Kifli turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan mengenai insiden itu supaya menghubungi mana-mana pejabat JPJ berhampiran bagi membantu siasatan.

Beliau dalam masa sama mengingatkan semua pemandu, khususnya pengendali kenderaan komersial, agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya demi menjamin keselamatan semua pengguna.

“Tindakan mematuhi peraturan adalah amat penting bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengelakkan insiden yang boleh meragut nyawa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button