JPJ sita 41 kereta mewah, pemilik gagal bayar cukai jalan dan insurans
KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menyita 41 kenderaan mewah sejak Januari lalu selepas didapati gagal memperbaharui cukai jalan dan insurans.
Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, daripada jumlah itu, 11 kenderaan masih berada dalam tahanan pihak berkuasa manakala 30 lagi telah dilepaskan selepas pemilik melunaskan tunggakan dan denda.
“Antara kesalahan yang paling popular bagi kenderaan mewah ini ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans.
“Malah, ada sesetengah kadar cukai jalan mencecah RM10,000 yang didakwa tidak mampu dibayar oleh pemilik kenderaan tersebut,” katanya memetik laporan Sinar Online.
Menurut beliau, antara kenderaan yang disita termasuk model mewah dan berprestasi tinggi seperti Ford Mustang, Bentley Continental Flying Spur, Rolls-Royce Ghost, Porsche Cayman, Aston Martin V8 Vantage dan Audi Q3.
Turut tersenarai ialah beberapa kenderaan utiliti sukan (SUV) dan pelbagai guna (MPV) premium seperti Land Rover Defender dan Toyota Alphard.
Hamidi berkata, tindakan penguatkuasaan dijalankan secara telus tanpa mengira latar belakang pemilik termasuk golongan selebriti dan individu berpengaruh.
“Kira-kira dua minggu lalu, seorang selebriti turut ditahan kerana tidak membayar cukai jalan bagi kenderaan jenis Bentley miliknya.
“Bagaimanapun, dia terus membuat bayaran dan kenderaan itu sudah pun dilepaskan,” katanya.
Beliau menegaskan JPJ akan terus menjalankan operasi penguatkuasaan secara konsisten dan mengingatkan semua pemilik kenderaan supaya mematuhi undang-undang jalan raya termasuk memperbaharui cukai jalan dan perlindungan insurans.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








