Zambry: KPT, UPSI gerak bantuan segera, 15 pelajar disahkan maut
IPOH – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir mengesahkan seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas persiaran di Jalan Jeli–Grik, awal pagi ini.
Menurutnya, 13 jenazah telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh bagi tujuan bedah siasat, manakala dua lagi masih dalam proses post-mortem di Hospital Gerik.
“Baki mangsa yang cedera kini sedang dirawat di Hospital Gerik dan keadaan mereka akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Zambry berkata, UPSI telah menubuhkan bilik gerakan serta menyediakan hotline untuk memudahkan saluran maklumat dan bantuan kepada keluarga mangsa.
“Urusan penginapan untuk ahli keluarga mangsa turut sedang dikendalikan dengan kerjasama Politeknik Ungku Omar dan Kolej Komuniti Gerik.
“Saya kini dalam perjalanan ke Hospital Ipoh untuk bertemu dengan keluarga mangsa.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar segala urusan dipermudahkan dan semua keluarga yang terlibat diberikan kekuatan serta ketabahan,” katanya lagi.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama pihak UPSI telah menggerakkan segala bentuk bantuan yang diperlukan untuk membantu mangsa dan keluarga mereka.
Terdahulu, bas yang membawa 42 pelajar dari Terengganu dan Kelantan ke kampus UPSI di Tanjung Malim itu dipercayai terbabas sebelum terbalik dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi berhampiran Tasik Banding, Gerik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








