Bawa pulang segera 3 gajah Malaysia, tempatkan di Kuala Gandah – MB Pahang
KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa pihak Zoo Taiping dan Night Safari mengambil tindakan segera membawa pulang tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.
Menurut beliau, perkara itu tidak boleh dipandang ringan memandangkan ketiga-tiga gajah tersebut merupakan sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara yang perlu dipelihara sebaiknya.
Beliau berkata, gesaan itu turut selari dengan pandangan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia yang prihatin terhadap keadaan mamalia tersebut di luar negara.
“Tempat paling wajar bagi mereka adalah kembali ke bumi sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Wan Rosdy turut mencadangkan agar Dara, Amoi dan Kelat ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Temerloh yang disifatkan lebih sesuai dengan habitat semula jadi serta keperluan pemuliharaan haiwan tersebut.
Menurut beliau, Kuala Gandah memiliki kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah, khususnya dari aspek interaksi sosial, ruang pergerakan serta kesejahteraan psikologi haiwan.
Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab memelihara khazanah negara harus dilaksanakan dengan sebaiknya dan isu ini memerlukan tindakan segera demi memastikan kebajikan haiwan berkenaan terus terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








