
Gajah liar cedera dirempuh Porsche Cayenne
SETIU – Seekor gajah liar cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kejadian di Kilometer 45, Kampung Kolam, Jalan Kuala Terengganu – Kampung Raja di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, insiden itu berlaku kira-kira jam 10.15 malam apabila SUV jenis Porsche Cayenne dipandu seorang lelaki dalam perjalanan dari Rhu 10 menuju ke Lembah Bidong.
Katanya, kenderaan itu yang dipandu seorang pengurus syarikat, Sharul Azma Che Samaon, 42, dikatakan tidak sempat mengelak menyebabkan ia terlanggar haiwan terbabit.
“Akibat rempuhan itu, haiwan tersebut dipercayai cedera pada bahagian kaki dan jatuh di tempat kejadian.
“Pemandu kenderaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kenderaan dipandu remuk pada bahagian hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Afandi berkata, gajah itu bagaimanpun telah bangun dan melarikan diri ke dalam hutan berdekatan kira-kira 10 minit selepas kemalangan tersebut.
Dalam perkembangan sama, Afandi berkata, gajah berkenaan telah dilihat berkeliaran di sekitar kawasan itu sekitar jam 6.30 petang sebelum berlaku kemalangan.
Katanya, usaha mengesan gajah berkenaan kini sedang giat dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








