BERITA SEMASA

Kerajaan luluskan RM9 bilion bangunkan semula sekolah daif

TAPAH – Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM9 bilion bagi pembangunan semula 367 bangunan sekolah daif sepanjang 2023 hingga 2026.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, peruntukan itu melibatkan 86 projek bernilai RM1.711 bilion pada 2023, 78 projek berjumlah RM1.825 bilion (2024), 124 projek dengan kos RM4.1 bilion (2025) serta 79 projek bernilai RM1.384 bilion (2026), lapor BERNAMA.

“Jumlah ini adalah yang paling besar daripada mana-mana kerajaan dalam tempoh empat tahun. Peruntukan dan kelulusan projek yang lebih banyak dilaksanakan adalah bagi mempercepatkan proses pembangunan semula bangunan sekolah yang terlibat demi keselamatan murid.

“Ini juga menunjukkan komitmen berterusan di bawah kepimpinan Perdana Menteri dalam memastikan premis sekolah daif ditangani secara berperingkat,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Daif Kementerian Pendidikan Bangunan Gantian di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Coldstream, di sini hari ini.

Mengulas tempoh penyiapan projek berkenaan, Wong berkata ia bergantung kepada skop, spesifikasi serta lokasi projek, dengan tempoh pelaksanaan am secara umumnya mengambil masa dua tahun selepas kelulusan dan lantikan kontraktor dibuat.

Mengenai pembinaan bangunan gantian di SJKC Kampung Coldstream pula, katanya projek bernilai RM2.9 juta itu mula dibina pada 24 Mei 2024 sebelum siap sepenuhnya pada 6 Ogos lepas.

Beliau berkata, bangunan itu dilengkap pelbagai kemudahan moden seperti empat bilik darjah yang selesa, dua unit tandas baharu serta sebuah dewan terbuka bagi kegunaan murid dan guru di sekolah berkenaan.

“Bagunan ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain seperti 120 set kerusi dan meja baharu serta unit Smart TV yang dibekalkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.

Wong berkata, dengan kemudahan berkenaan pelajar juga dapat menikmati suasana pembelajaran yang kondusif manakala bilik khas sekolah yang digunakan sebagai kelas sementara sebelum ini dapat dikembalikan kepada fungsi asal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button