Lebih 700 sekolah seluruh negara selesai audit keselamatan
PUTRAJAYA – Lebih 700 daripada 10,000 sekolah di seluruh negara sudah diaudit keselamatannya setakat ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, proses audit berkenaan masih giat berjalan dan menunjukkan perkembangan positif.
“Alhamdulillah, audit keselamatan sekolah sedang berlangsung. Setakat ini kita sudah audit lebih 700 daripada 10,000 sekolah di seluruh negara.
“Perjalanan ini masih jauh tetapi perkembangan yang ditunjukkan amat baik,” katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), di sini hari ini.
Difahamkan, audit keselamatan tersebut dibuat sejak Ogos lalu dan dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Refomarsi Keselamatan Sekolah.
Kelmarin, seorang murid Tahun Tiga, Abdul Fattah Khairol Rizal, meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolahnya di Lenggeng, Negeri Sembilan.
Mengenai Belanjawan 2026, Fadhlina berkata, penyelenggaraan sekolah menerima peruntukan besar setiap tahun dan kementeriannya kini memberi tumpuan penuh kepada isu keselamatan supaya tragedi sama tidak berulang.
Katanya, aspek keselamatan sekolah turut menjadi antara keutamaan Kementerian Pendidikan dalam penyediaan input bagi Belanjawan 2026, selain beberapa perkara penting lain seperti pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET).
Ia juga termasuk sokongan terhadap inisiatif antibuli, pembangunan digital, teknologi serta persediaan ke arah kurikulum 2027 dan pelan pembangunan pendidikan baharu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








