BERITA SEMASA

MPPK dalam proses pelantikan, KPM teliti cadangan kembalikan UPSR, PT3

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang membuat persiapan akhir dan hanya menunggu pelantikan rasmi ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) sebelum melaksanakan kajian menyeluruh, termasuk meneliti cadangan mengembalikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, MPPK yang kini berada dalam proses pelantikan akan berperanan meneliti pelbagai maklum balas dan pandangan berkaitan sistem pentaksiran pendidikan negara.

“Kita akan selesaikan dalam tahun ini juga kerana kita nampak maklum balas yang pelbagai.

“Pandangan-pandangan itu kita akan kumpulkan dan kajian-kajian yang telah ada di peringkat Penyelidikan Malaysia untuk kita kaji bersama dan lihat bersama dengan Majlis Penasihat. Insya-Allah, sesegera mungkin,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(1), di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad.

Fadhlina Sidek
Fadhlina berucap di hadapan ibu bapa pada majlis tersebut.

Menurut Fadhlina, keanggotaan MPPK akan melibatkan individu daripada pelbagai latar belakang yang mempunyai peranan penting dalam pembangunan pendidikan negara.

“Mereka perlu ada pengalaman dalam bidang pendidikan, polisi, berada di akar umbi, pengalaman mengajar dan semua itu kita ambil kira bagi menentukan keutamaan dalam pelantikan penasihat nanti,” katanya.

Mengulas tempoh kajian tambahan, beliau menegaskan ia dibuat berdasarkan maklum balas ibu bapa, guru serta komuniti pendidikan.

“Kita ambil pendekatan untuk mengkaji secara bersama sebelum membuat keputusan-keputusan penting untuk negara.

“Kita tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa, sebab itu kita mendapatkan nasihat Majlis Penasihat serta pandangan pakar-pakar pendidikan berpengalaman,” katanya.

Tambah beliau, KPM sentiasa memperkukuhkan sistem pentaksiran sedia ada setiap tahun.

“Pengukuhan itu berlaku secara berterusan dan kajian juga sentiasa dijalankan,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button