RPM 2026-2035 pacu transformasi pendidikan, rapat jurang dan perkasa STEM
KUALA LUMPUR – Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang dilancarkan kerajaan sebagai hala tuju baharu sistem pendidikan negara akan memberi penekanan kepada usaha merapatkan jurang pendidikan serta memperkasa kualiti pembelajaran murid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, antara komponen penting dalam pelan berkenaan ialah membangunkan sistem pendidikan berkualiti dan mampan untuk melahirkan insan beradab, berilmu dan berdaya tahan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) kini giat menggerakkan kempen penerangan berhubung RPM bagi memastikan seluruh warga pendidik dan masyarakat memahami hala tuju pelan strategik itu secara tuntas.
Katanya, inisiatif penyebaran maklumat itu dilaksanakan secara intensif melalui ‘Program Tekad’ yang merupakan pengisian istimewa dalam siri Jaulah Ramadan KPM di seluruh negara pada tahun ini.
Menurutnya, program tersebut memberi ruang kepada pelajar menyuarakan pandangan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan supaya dasar pendidikan yang digubal lebih inklusif dan selari dengan keperluan generasi muda.
“RPM memberi tumpuan kepada usaha merapatkan jurang pendidikan dalam masyarakat, termasuk dari segi akses teknologi dan peluang pembelajaran supaya semua anak-anak mempunyai ruang belajar yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada sesi libat urus bersama media dan sesi pembentangan Program Tekad Reformasi Pendidikan (TEKAD), di Permata Kurnia, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad.

Fadhlina turut menegaskan bahawa pelaksanaan RPM tidak akan mengetepikan keperluan murid berkeperluan khas termasuk anak-anak autisme agar mereka tidak terpinggir daripada sistem pendidikan arus perdana.
Justeru katanya, ibu bapa juga perlu diberikan maklumat yang tepat bagi membantu mereka mengenal pasti serta memahami keperluan anak-anak tersebut.
Bagaimanapun, beliau mengakui negara ketika ini berdepan cabaran kekurangan tenaga pengajar dalam bidang pendidikan khas apabila nisbah ideal seorang guru kepada tujuh murid masih belum dapat dicapai.
“Ketika ini seorang guru terpaksa mengajar antara 15 hingga 20 murid dan keadaan ini tidak memenuhi syarat pendidikan yang ideal,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kementerian memberi penekanan kepada beberapa langkah termasuk meningkatkan penggunaan teknologi dalam pembelajaran, penambahan bilik darjah serta peningkatan jumlah guru pendidikan khas bagi memperbaiki keadaan tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata RPM turut memberi fokus kepada usaha memperkukuh pencapaian pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia serta meningkatkan penyertaan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Katanya, selepas lebih enam dekad merdeka, sasaran nisbah 60:40 bagi aliran STEM dan bukan STEM masih belum dapat dicapai apabila kadar semasa hanya sekitar 50.2 peratus, manakala aliran Sains tulen pula hanya kira-kira 13 peratus.
Jelasnya, keadaan itu antara lain dipengaruhi stigma bahawa bidang Sains sukar dipelajari selain persepsi berkaitan peluang melanjutkan pengajian dan kerjaya.
Justeru, kementerian kini bekerjasama dengan PEMANDU bagi merangka pendekatan baharu termasuk cadangan mewajibkan sekolah berasrama penuh menawarkan aliran Sains.
Menurutnya, pendekatan sama juga akan diperluaskan kepada sekolah aliran agama yang dikenal pasti mempunyai potensi besar dalam melahirkan lebih ramai pelajar dalam bidang STEM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








