BERITA SEMASA

KPM sasar perluas program GADIS ke seluruh negara – Fadhlina

KOTA KINABALU – Kementerian Pendidikan (KPM) berhasrat memperluaskan Program Citra Gadis Unggul (GADIS) ke seluruh negara sebagai usaha berterusan memperkasa potensi pelajar perempuan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pendayaan pelajar perempuan perlu diterapkan sejak peringkat awal bagi membentuk generasi yang holistik, berkeyakinan dan cemerlang.

“Antara tumpuan utama kami ketika ini adalah memberi kesedaran kepada anak-anak perempuan mengenai hak mereka mendapatkan pendidikan terbaik dan mencapai impian dalam kehidupan.

“Pengalaman saya sebagai aktivis selama bertahun-tahun kini diterjemahkan melalui agenda pendayaan GADIS, yang membawa mesej hanya pendidikan mampu mengubah masa depan anak-anak kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam.

Sebelum itu, Fadhlina menghadiri program GADIS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Salaping, Kota Marudu yang dianjurkan dengan kerjasama rakan strategik KPM.

Menurutnya, program berkenaan turut memberi fokus kepada aspek pendidikan kesihatan reproduktif dan kesedaran mengenai kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Fadhlina turut menegaskan agenda memperkasa pelajar perempuan melalui program seperti GADIS adalah penting dalam membina masa depan negara yang lebih seimbang dan inklusif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button