BERITA SEMASADALAM NEGERI

SPM 2025 bermula 3 November, lebih 413,000 calon terlibat di seluruh negara

PUTRAJAYA – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 akan bermula pada Isnin ini melibatkan seramai 413,372 calon di 3,350 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ujian lisan bagi Bahasa Melayu akan diadakan dari 3 hingga 6 November, diikuti ujian bertutur Bahasa Inggeris pada 10 hingga 13 November manakala ujian amali Sains dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 19 November 2025.

Ujian mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula akan dijalankan pada 20 November, sebelum peperiksaan bertulis dilaksanakan dari 25 November hingga 23 Disember 2025.

Menurut KPM, seramai 127,526 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan di seluruh negara.

“Calon peperiksaan SPM Tahun 2025 diingatkan agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, waktu, kod kertas, nama kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung,” menurut kenyataan itu.

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun melalui portal rasmi Lembaga Peperiksaan (LP) di pautan lp.moe.gov.my.

KPM turut menasihatkan calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

Dalam masa sama, KPM memberi jaminan bahawa pihaknya cakna terhadap keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan, terutama dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana alam dan penularan penyakit berjangkit Influenza-Like Illness (ILI).

“KPM sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi lain yang berkaitan,” jelas kenyataan itu lagi.

Calon yang terjejas akibat bencana pula dinasihatkan supaya segera memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing untuk tindakan lanjut.

“KPM akan melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2025 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur,” tambah kenyataan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button