BERITA SEMASA

Permohonan pindah sekolah mulai 2026 perlu lampiran kesihatan, disiplin pelajar

CYBERJAYA – Mulai sesi persekolahan 2026, permohonan bagi berpindah sekolah wajib disertakan dengan lampiran laporan kesihatan termasuk tahap kesihatan mental serta rekod disiplin pelajar.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, perkara tersebut merupakan antara garis panduan baharu keselamatan sekolah yang akan dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani isu buli, gangguan seksual dan keselamatan fizikal murid, lapor UM Online, hari ini.

“Sekolah asal perlu melampirkan laporan kesihatan termasuk kesihatan mental serta laporan disiplin murid. SOP ini akan diperketatkan supaya isu berisiko dapat dikesan lebih awal,” katanya dalam laporan tersebut.

Sebelum ini, proses pertukaran sekolah dibuat tanpa pemindahan maklumat penting, menyebabkan sekolah baharu tidak mengetahui latar belakang murid terbabit sehingga berpotensi mencetuskan insiden.

Dalam pada itu, Azam berkata buat pada masa ini, Jawatankuasa Khas Keselamatan Sekolah KPM sedang menyemak semula SOP sekolah yang mungkin tidak lagi relevan supaya lebih selaras dengan keperluan semasa.

Beliau berkata, semakan SOP itu turut melibatkan agensi luar seperti UNICEF dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), selain kerjasama Kementerian Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan polis.

Menurutnya, reformasi keselamatan sekolah itu memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu kesihatan mental, pendidikan reproduktif dan sosial, kebajikan guru, suara murid serta Polisi Perlindungan Murid.

Katanya, di bawah polisi berkenaan, KPM akan memperkenalkan konsep ‘Aku Janji Sekolah’ yang melibatkan komitmen bersama antara pihak sekolah, ibu bapa dan murid bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan berdisiplin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button