BERITA SEMASA

Guan Eng minta Fadhlina perjelas lawatan delegasi Kementerian Pendidikan pimpinan Taliban

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta penjelasan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban baru-baru ini.

Guan Eng yang juga ahli DAP berkata, lawatan itu telah menimbulkan tanda tanya memandangkan Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Afgahnistan.

“Saya ingin bertanyakan kenapa Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan lawatan sedemikian dari sebuah negara yang tiada hubungan diplomatik dengan Malaysia,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen, hari ini.

Guan Eng berkata demikian sambil menyatakan beliau mengambil berat terhadap isu hak asasi manusia yang melanda Afgahnistan selepas Taliban melarang golongan wanita belajar di peringkat sekolah, menengah dan universiti.

“Afghanistan satu-satunya negara yang melarang golongan wanita belajar di peringkat sekolah menengah dan universiti, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga mengecam Afghanistan pimpinan Taliban kerana tindakan sedemikian sama seperti gender apartheid (aparteid jantina).

“Tetapi nampaknya kita mesra dengan Kementerian Pendidikan pimpinan Taliban yang melarang wanita belajar yang saya rasa ini ditentang semua rakyat Malaysia dan saya yakin seluruh dunia,” katanya.

Minggu lalu, Fadhlina mengesahkan lawatan itu dengan kementeriannya berkongsi pandangan mereka mengenai pendidikan.

Menurut Radio Televisyen Afghanistan, lawatan seminggu bermula 4 November lalu itu diketuai Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Afghanistan Shahabuddin Saqib.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button