BERITA SEMASA

KPM rancang sekolah terapung di Hulu Perak tingkat akses pendidikan murid Orang Asli

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang merangka pelaksanaan inisiatif sekolah terapung di beberapa kampung pedalaman di Hulu Perak bagi mempertingkatkan akses pendidikan dalam kalangan murid Orang Asli.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook KPM semalam dan turut dikongsi oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, inisiatif itu akan melibatkan pembinaan sekolah terapung di empat kampung iaitu Kampung Sungai Chueh, Kampung Sungai Tebang, Kampung Charok Bus dan Kampung Sungai Chiong.

“Sekolah terapung yang bakal dilengkapi dengan kemudahan pengajaran dan pembelajaran (PdP) itu dijangka mampu menangani isu keciciran pendidikan yang sering berlaku dalam kalangan murid di kawasan pedalaman,” menurut kenyataan itu.

KPM berkata, menerusi sesi lawatan kerja yang diadakan baru-baru ini, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak telah memperkenalkan cadangan berkenaan kepada penduduk setempat sebagai langkah awal pelaksanaan.

Sesi itu turut memberi ruang kepada ibu bapa untuk berkongsi pandangan dan membincangkan isu-isu pembelajaran yang dihadapi oleh anak-anak mereka di kawasan terbabit.

“KPM sentiasa komited meningkatkan akses pendidikan kepada semua murid tanpa mengira latar belakang atau lokasi. Hanya melalui pendidikan, masa depan kehidupan dapat diubah ke arah yang lebih baik,” jelas kenyataan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button