BERITA SEMASA

10,045 guru baharu ditempatkan di sekolah KPM setakat September

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) terus komited menangani isu kekurangan guru melalui pelbagai langkah segera dan berterusan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, langkah tersebut khususnya bagi konteks pengisian guru di sekolah rendah dan menengah seluruh negara, sekali gus menjamin pengajaran dan pembelajaran di sekolah tidak terjejas.

“Sehingga 22 September lalu seramai 10,045 orang guru baharu sudah ditempatkan di sekolah KPM.

“Terkini, KPM sedang melaksanakan penempatan guru baharu dari pasaran terbuka dan graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) seramai 10,096 orang yang akan ditempatkan pada November ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Terdahulu, Fadhlina memaklumkan seramai 5,293 guru memilih untuk bersara awal secara pilihan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak 2021 hingga 2024.

Beliau berkata, jumlah itu adalah 1.24 peratus daripada keseluruhan bilangan pengisian guru di Kementerian Pendidikan (KPM).

“Berdasarkan data KPM, sebanyak 67.44 peratus guru yang memohon persaraan awal menyatakan tidak lagi berminat untuk meneruskan kerjaya sebagai sebab utama.

“Masalah keluarga mencatatkan 17.43 peratus, diikuti masalah kesihatan sebanyak 7.69 peratus, beban tugas 5.37 peratus dan masalah peribadi 2.07 peratus,” katanya.

Fadhlina menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang ingin mengetahui sebab utama guru-guru memilih untuk bersara lebih awal dan beban memerlukan guru-guru mengisikan data-data prestasi murid-murid serta beban pentadbiran yang lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button