BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAAN

KPM perkemas struktur tugas guru melalui tujuh langkah baharu

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan tujuh pendekatan strategik bagi menangani isu beban tugas guru, termasuk pemansuhan program yang tidak memberi kesan besar serta penglibatan orang awam sebagai pengawas peperiksaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, usaha mengurangkan tekanan kerja dalam kalangan guru menjadi keutamaan sejak beliau memegang jawatan tersebut.

“Melalui syor Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), KPM telah mengenal pasti Tujuh Langkah Mengurangkan Beban Guru dengan tumpuan kepada pelaksanaan yang bersifat praktikal dan menyeluruh,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Antara langkah yang diumumkan termasuk pemansuhan acara peringkat sekolah yang tidak berimpak tinggi serta pengurangan kekerapan semakan terhadap elemen pengurusan sekolah seperti Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM).

“Turut diperkenalkan, kelonggaran terhadap waktu merekod kehadiran murid bagi memberi ruang fleksibiliti kepada guru serta penyederhanaan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang hanya perlu merangkumi objektif, pengajaran dan refleksi,” jelasnya.

Sebagai sebahagian usaha menyusun semula keutamaan, KPM mengehadkan sambutan Hari Guru kepada dua peringkat sahaja kebangsaan dan sekolah.

Menurut Fadhlina, KPM juga memperkukuh autonomi guru dalam merancang dan melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), seiring dengan aspirasi untuk memperkasakan profesion perguruan.

“Inisiatif melibatkan penglibatan lebih 11,000 orang awam sebagai pengawas peperiksaan awam juga telah membuahkan hasil positif dan berjaya mengurangkan tekanan kerja guru di lapangan,” katanya.

Menurut beliau, keberkesanan pendekatan tersebut hanya dapat dicapai sekiranya JPN, PPD dan pentadbiran sekolah melaksanakannya secara bersepadu dan berdisiplin.

“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Pendidikan untuk memastikan semua inisiatif ini dilaksanakan seperti dirancang.

“Laporan kemajuan perlu dibentangkan setiap tiga bulan kepada saya serta pengurusan tertinggi KPM,” ujarnya.

Fadhlina menyeru agar seluruh kepimpinan pendidikan di setiap peringkat memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan isu beban kerja guru dapat ditangani secara kolektif dan berkesan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button