BERITA SEMASA

KPM salur RM14.4 juta BAP kepada lebih 96,000 pelajar Tingkatan Enam

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan sebanyak RM14,401,950 bagi Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada 96,013 pelajar Tingkatan Enam di seluruh negara pada tahun ini sebagai usaha meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, daripada jumlah itu, seramai 52,810 pelajar Tingkatan Enam baharu yang mendaftar pada 8 Jun lalu akan menerima bantuan sebanyak RM150 seorang.

Menurut KPM itu, agihan bantuan kepada pelajar baharu akan dilaksanakan di 616 Pusat Tingkatan Enam (PTE) di seluruh negara bermula 28 Jun hingga 27 Julai ini.

“Secara keseluruhan, seramai 96,013 murid Tingkatan Enam merangkumi pelajar baharu dan sedia ada telah dan akan menerima BAP bagi tahun 2026 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM14,401,950,” menurut kenyataan KPM hari ini.

KPM berkata, pemberian BAP kepada pelajar Tingkatan Enam diteruskan selepas kerajaan meluluskan peluasan inisiatif berkenaan bermula tahun lalu.

Menurutnya, langkah itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa serta penjaga untuk membuat persediaan persekolahan.

“Pelaksanaan inisiatif ini turut membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memperkasakan pendidikan Tingkatan Enam serta memastikan kebajikan pelajar terus diberi perhatian,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button